'Promosi daging rusa, dapat daging kerbau'


  • 112
  • Selasa, 12 Okt 2021

AZMAN berkata, pihaknya mendapati daging sejuk beku berkenaan adalah daging kerbau dan bukannya daging rusa seperti dipromosikan dalam talian. — Bernama

SEJUMLAH daging sejuk beku yang disyaki bukan daging rusa seperti yang dipromosikan melalui dalam talian dirampas di sebuah premis di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor pada 8 Oktober lepas, kata Azman Adam.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP) itu berkata, daging sejuk beku yang ditemukan di dalam peti sejuk beku di premis berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian kecerakinan dan mendapati ia adalah daging kerbau.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati modus operandi peniaga terbabit adalah menjual dan mengiklankan daging rusa sejuk beku secara dalam talian untuk pasaran tempatan pada harga RM42 sekilogram.

"Keputusan ujian tersebut sekali gus menunjukkan daging sejuk beku yang dijual peniaga terbabit adalah bukan daging rusa seperti yang dipromosikan kepada pengguna melalui perniagaan dalam talian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kesemua daging yang dijumpai di premis berkenaan dianggarkan bernilai RM7,004 disita bersama dokumen-dokumen perniagaan bagi tujuan siasatan, katanya.

Azman berkata, satu kertas siasatan telah dibuka untuk disiasat di bawah Seksyen 5(1)(b) Larangan Perihal Dagangan Palsu iaitu membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang-barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan.

Jika sabit kesalahan, Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 memperuntukkan denda tidak melebihi RM25,000 bagi pertubuhan atau perbadanan, manakala bagi bukan pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Azman memberi amaran kepada individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab menjalankan aktiviti perniagaan sama ada secara dalam talian atau fizikal, selain melarang mengeluarkan sebarang pengiklanan yang mengelirukan pengguna dengan niat untuk melakukan penipuan.

Sebarang maklumat atau aduan berhubung salah laku peniaga tidak beretika boleh disalurkan melalui talian WhatsApp 019-2794317, Ez ADU KPDNHEP, Portal e-aduan http://eaduan.kpdnhep.gov.my, talian hotline kementerian 1-800-886-800, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 dan e-mel ke [email protected]. — Majoriti

daging sejuk beku, KPDNHEP, APD 2011