Mayat ditemui dengan kesan tetakan


  • 112
  • Ahad, 10 Okt 2021

KES disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
MAYAT seorang lelaki ditemukan terbaring dengan beberapa kesan tetakan di bilik sewanya di Taman Serdang Utama, Seri Kembangan, Selangor pada petang Sabtu, kata Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Polis (ACP) A.A Anbalagan.

Menurutnya, mayat lelaki berusia 40 tahun itu dipercayai dibunuh dengan kesan tetakan pada kepala, rusuk kanan, belakang badan dan kedua-dua lengan.

Polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita pada 6.13 petang semalam yang memaklumkan seorang lelaki telah meninggal dunia di biliknya.

"Lelaki yang masih bujang itu merupakan pekerja kedai perabut dan menyewa di bilik berkenaan sejak lima tahun lepas. Dalam rumah berkenaan terdapat beberapa bilik lain yang dipisahkan dengan papan dan disewa kepada penyewa yang lain," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan. — Majoriti