Lawan arus: Devaaswin berdepan hukuman mati


DEVAASWIN, 24, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. — Bernama

PEMANDU yang melawan arus hingga mengorbankan dua remaja di Lebuhraya Persekutuan, 12 September lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan membunuh.

Tertuduh, K Devaaswin, 24, yang juga pegawai pemasaran syarikat swasta itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar manakala Devaaswin diwakili peguam Pushpa Ratnam dan R Thanuja.

Majistret Nur Faizah Abdul Sani menetapkan 21 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan dua remaja, Nur Afiqah Abdul Karim, 18, dan Muhammad Hafiz Syamir maut selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki secara melawan arus di Lebuhraya Persekutuan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram