Tiada petunjuk baharu, operasi menyelamat lima pemancing hilang ditangguhkan


  • 112
  • Sabtu, 09 Okt 2021

PENDUDUK kampung turut menyertai operasi mencari dan menyelamat bagi mencari lima pemancing yang dilaporkan tidak kembali ke darat sejak 1 Oktober lepas. — Bernama
TIADA petunjuk baharu yang boleh membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima pemancing yang dilaporkan hilang pada perairan Karang Berumput dan Tukun Bass dari Santubong, Sarawak sejak 1 Oktober lalu.

Ekoran itu, SAR terpaksa ditangguhkan pada jam 5 petang Sabtu.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, sejak operasi menyelamat dilakukan, pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk kecuali penemuan boya berwarna jingga terapung yang disahkan pemilik bot pada jarak kira-kira 34.5 batu nautika barat laut Muara Sungai Santubong, 3 Oktober lalu.

"Pencarian mangsa dan bot masih dilakukan selepas ini, akan dimasukkan dalam sektor rondaan operasi harian untuk aset-aset yang beroperasi di laut kelak.

“Kebarangkalian mangsa yang dicari masih hidup mungkin tipis,” katanya dalam kenyataan.

Lima mangsa yang hilang itu ialah Khamizan Saidi, 40; Ng Ching Hui, 36; Christopher Teo, 32; Yap Tze Kang, 41; dan Leo Dy Lee Jiann Tarn, 35.

Kesemua mereka menuju ke kawasan perairan Karang Berumput dan Tukun Bass dari Santubong.

Operasi menyelamat itu menggunakan pelbagai aset merangkui carian di laut dan juga dari udara.

"Maritim Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi yang terbabit iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sarawak Coast Guard serta JKK Telaga Air dan komuniti maritim sekitar,” katanya. — Majoriti

bot, pemancing, maritim, hilang, SAR, ditangguhkan, Sarawak