Tiga kanak-kanak dikhuatiri lemas dihanyutkan air pasang


  • 112
  • Sabtu, 09 Okt 2021

TIGA kanak-kanak sahaja sempat diselamatkan manakala tiga lagi hilang dihanyutkan air pasang ketika kejadian. — Bernama

AKTIVITI mencari kepah menyebabkan tiga kanak-kanak dikhuatiri lemas di muara Sungai Kampung Mangkuk, dekat Setiu, Terengganu pada Jumaat.

Kesemua mangsa, Nurulhasha Humaira Che Mohd Humaizi, 11 dan adik lelakinya Muhammad Aryyan Faheem, 7 serta seorang saudara mereka, Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, hilang ketika air pasang kira-kira jam 5.30 petang.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Setiu Rosli Latif berkata, sebelum kejadian, terdapat tiga orang dewasa dan enam kanak-kanak sedang berada di dalam air untuk mencari kepah.

"Apabila air pasang dengan cepat, tiga individu dewasa tersebut hanya sempat menyelamatkan tiga kanak-kanak manakala tiga lagi gagal diselamatkan sebelum hilang dari pandangan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan oleh pihak bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan penduduk kampung. — Bernama

lemas, hilang, kanak-kanak