Tiga teras utama, 20 pengkayaan nilai dasari konsep 'Keluarga Malaysia'


  • Primer
  • Jumaat, 08 Okt 2021

ISMAIL Sabri memperkenalkan konsep 'Keluarga Malaysia' sebagai dasar kepimpinan kerajaan.

KONSEP 'Keluarga Malaysia’ menggariskan tiga teras utama dan 20 pengkayaan nilai yang mendasari kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk bekerja secara bersama-sama dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik Covid-19.



Menurut buku kecil yang mengandungi maklumat ringkas 'Keluarga Malaysia' itu, tiga teras utama tersebut ialah Keterangkuman (inclusivity), Kebersamaan (common ground) dan Kesyukuran (contentment).

Bagi pengkayaan nilai-nilai di bawah tiga teras berkenaan termasuk menyemai budaya integriti dalam keluarga, menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga, menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga dan menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga.

Nilai lain ialah menerapkan budaya ilmu dalam masyarakat dan keluarga, menyuburkan budaya komunikasi berhemah dalam kalangan keluarga dan masyarakat serta membina akhlak mulia seluruh anggota keluarga.

Turut digariskan ialah nilai kebertanggungjawaban terhadap keluarga, membudayakan amalan ihsan dalam memupuk semangat kebersamaan keluarga, memastikan suasana harmoni dapat dikecapi keluarga serta menyemai budaya khidmat dalam keluarga bagi membantu ahli yang memerlukan bantuan.

Nilai lain ialah menjaga kehormatan dan maruah keluarga, menyemaikan semangat prihatin untuk membantu ahli keluarga, menerapkan budaya kesabaran dalam mengekalkan keharmonian keluarga dan menyemai semangat keamanan serta kesejahteraan dalam diri ahli keluarga.

Tidak ketinggalan ialah aspek hidup beriman, membudayakan amalan sihat fizikal dan mental, mengekalkan tradisi dan adat kekeluargaan, kasih sayang, hormat dan taat.

Sementara itu, buku kecil berkenaan juga berkongsi visi, matlamat, hala tuju strategik, mesej dan bidang tumpuan utama konsep tersebut.

Visi 'Keluarga Malaysia’ ialah memulihkan negara, mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi yang bermatlamat sebagai aspirasi jangka panjang kalis cabaran masa hadapan dalam mencapai visi itu berlandaskan 'Keberhasilan Kebahagiaan'.

Selaras dengan situasi semasa, ia turut menggariskan hala tuju strategik iaitu rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa akan berganding bahu memulihkan negara daripada impak-impak negatif akibat Covid-19. — Bernama