Rompak kedai emas, mekanik berdepan hukuman 20 tahun penjara


TERTUDUH berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

SEORANG mekanik berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didakwa melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai emas, Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Effie Ahmad Shazaki, 26, dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama 397 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Ahmad Effie didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan sebilah kapak, tukul dan parang ke atas pemilik sebuah kedai emas di Wangsa Maju pada 4.43 petang, 16 Mei lepas.

Ekoran insiden itu, kedai emas berkenaan mengalami kerugian berjumlah RM600,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mengesyorkan jaminan RM30,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana perlu menanggung keluarga.

Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain menetapkan 24 November ini untuk sebutan semula kes. — Bernama