DATIN Seri Rosmah Mansor tidak dapat menahan emosi dan menangis ketika memberi keterangan berhubung kes pertuduhan meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.
Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu sebak di akhir keterangan dan mempersoalkan pihak pendakwaan yang 'menutup mata' terhadap lima saksi dalam perbicaraan rasuahnya yang melibatkan projek solar hybrid di Sarawak.
Kesemua saksi itu, katanya, secara kolektif menyalahkannya untuk menyembunyikan rasa malu mereka dan mereka semua dilepaskan.
“Ini adalah perbuatan zalim (pendakwaan) dan kejam terhadap saya dan keluarga saya. Ini juga adalah suatu malicious and selective prosecution (pendakwaan berniat jahat dan terpilih) terhadap saya,” katanya sambil mengesat air mata.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian bertanya kepada beliau: "Are you ok?” (Anda okey?)
Rosmah, yang memberi keterangan dari kandang saksi menjawab: "Saya minta maaf Yang Arif, saya telah melalui banyak perkara."
Rosmah membaca keterangan saksi setebal 118 halaman pada hari kedua perbicaraan kesnya itu.
Dalam pembelaannya, Rosmah menyalahkan bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor, yang didakwa sebagai dalang meminta dan menerima berjuta-juta ringgit yang melibatkan projek solar hybrid berkenaan.
Rosmah mendakwa bahawa lima saksi tersebut seharusnya didakwa di mahkamah kerana penyelewengan dalam proses tender yang melibatkan Jepak Holdings, syarikat di mana beliau dituduh meminta dan menerima rasuah.
Kelima-lima saksi berkenaan adalah bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (saksi pendakwaan kelima, atau SP5), bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Madinah Mohamad (SP6) dan Datuk Seri Alias Ahmad (SP12), pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin (SP17), dan juga Rizal (SP21).
Rosmah menghadapi satu pertuduhan meminta rasuah bernilai RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta dari bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.
Sogokan itu didakwa diterima melalui Rizal sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Suria Fotovoltaik Hibrid serta penyelenggaraan dan operasi set penjana diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion dari Kementerian Pendidikan melalui rundingan langsung.
Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Mohamed Zaini pada Khamis. — The Star
Rosmah menangis ketika beri keterangan tuduhan rasuah
- Prosiding
-
Rabu, 06 Okt 2021