Perkeso sumbang kit ujian kendiri Covid-19 pada majikan


  • Primer
  • Khamis, 07 Okt 2021

DUA jenis kit ujian kendiri Covid-19 akan diberikan kepada para majikan. — Bernama
PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Kementerian Sumber Manusia akan membekalkan kemudahan kit ujian kendiri Covid-19 kepada majikan yang melaksanakan ujian saringan pekerja di bawah Program Ujian Saringan Covid-19 Fasa Pemulihan.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan, inisiatif itu bertujuan membantu majikan melaksanakan ujian saringan Covid-19 dengan lebih mudah dan pantas.

Menerusi program berkenaan, beliau berkata, majikan bertanggungjawab menyelaraskan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 bersama klinik pilihan mereka selain perlu menanggung kos perkhidmatan bagi ujian saringan.

"Bermula Rabu, Perkeso membekalkan kit ujian saringan jenis RTK Antigen kepada majikan yang menjalankan proses saringan Covid-19 pekerja mereka.

"Setakat ini, Perkeso menerima 230,000 permohonan daripada majikan bagi mendapatkan kit ujian (RTK Antigen) itu.

"Kedua-dua jenis kit ujian ini akan dibekalkan kepada majikan berdasarkan bilangan pekerja yang aktif mencarum dengan Perkeso,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, majikan yang belum memohon untuk program tersebut boleh memilih jenis kit ujian yang ingin dilaksanakan sama ada Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dilakukan secara profesional di klinik atau kit ujian kendiri yang boleh dilakukan pekerja sendiri. — Majoriti