BANK Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi institusi perbankan Islam tulen dan lengkap yang pertama disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Jumaat melalui pengambilalihan status penyenaraian daripada BIMB Holdings Bhd (BHB).
Penyenaraian itu menandakan muktamadnya langkah penstrukturan semula Kumpulan BHB yang meliputi langkah tawaran persendirian, skim pengaturan bagi melunaskan waran tertunggak dan penyusunan semula dalaman anak syarikat
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BHB dan bank islam Mohd Muazzam Mohamed, BIMB akan memanfaatkan pertumbuhan kewangan Islam dan pasaran modal Islam dengan jangkaan modal pasaran sebanyak RM6.3 bilion.
"BIMB kini memulakan strategi pelan perniagaan lima tahun (LEAP25) yang menjanjikan penggunaan teknologi, merancang semula pertumbuhan dan beroperasi dalam norma baharu bagi mengatasi cabaran yang dibawa oleh pandemik COVID-19," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya lagi, bank islam akan diberikan autonomi penuh dalam menjalankan dan meneruskan strategi korporat dan perniagaannya.
"Pada masa sama kita akan menerapkan inisiatif pengurusan modal dengan muktamadnya langkah korporat ini.
"Melalui penyenaraian ini, bank mempunyai akses kepada sumber modal yang lebih luas dan pelbagai, membolehkan penggunaannya untuk menyokong program pengembangan dan pertumbuhan perniagaan di masa hadapan dengan cekap," ujarnya.
Tambahnya lagi, kumpulan akan mempunyai skala dan keupayaan yang lebih besar untuk menyokong pertumbuhan organik.
Hurainya, penyenaraian tersebut membuka peluang kepada pelabur untuk terlibat secara langsung dalam pertumbuhan ekuiti dan masa hadapan Kumpulan bank islam baharu.
Ia meliputi BIMB Investment Management Bhd dan BIMB Securities Sdn Bhd.
Kata beliau lagi, Bank islam berhasrat untuk berada di kedudukan utama dalam menawarkan penyelesaian kewangan lengkap Syariah-ESG dengan menerajui perbankan digital dan kewangan sosial menjelang 2025.
"Kumpulan akan terus fokus menerapkan prinsip Syariah, Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk kekal berdaya tahan dan mempromosikan rangkuman kewangan untuk semua," jelasnya. — Majoriti