Bank Malaysia tumpu perbelanjaan inisiatif digital, kesejahteraan kewangan


  • Bizz
  • Rabu, 06 Okt 2021

BNM menerima sejumlah 29 permohonan lesen perbankan digital setakat 30 Jun lalu. — Agensi
SEBANYAK 64 peratus pembuat keputusan dalam perniagaan perbankan runcit Malaysia mengakui bahawa bank masing-masing kini meningkatkan perbelanjaan berkaitan inisiatif digital dan kesejahteraan kewangan.

Statistik yang dikeluarkan menerusi kajian peneraju platform libat urus perbankan, Backbase menunjukkan peratusan tersebut adalah tertinggi di rantau Asia Pasifik dan mengatasi Singapura, Jepun serta Australia.

Menurut kajian itu lagi, perkembangan berkenaan adalah susulan aktiviti permohonan lesen perbankan digital yang dikemukakan kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Pada tarikh akhir permohonan iaitu 30 Jun, BNM menerima sejumlah 29 permohonan dengan hanya lima lesen diserahkan seawal suku pertama 2022.

"Sektor perbankan runcit di Malaysia kini sedang membuat persiapan untuk menghadapi persaingan dengan menawarkan pelbagai khidmat digital yang baharu buat para pelanggan,” kata Backbase dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Naib Presiden Serantau Backbase di Asia Pasifik, Iman Ghodosi menyifatkan sekarang sebagai masa yang tepat serta menjadi gerbang peluang untuk bank-bank bertindak membangunkan khidmat digital masing-masing.

"Laporan terkini menunjukkan warga Malaysia sememangnya amat berminat dengan perkhidmatan digital. Sebagai contoh, 67 peratus pengguna yang ditinjau mengakui mereka pernah menggunakan aplikasi mudah alih bank masing-masing manakala 87 peratus menghargai aplikasi mudah alih berkualiti disediakan bank dan 82 peratus menjalankan aktiviti perbankan harian mereka menerusi telefon pintar,” katanya.

Sehubungan itu, Ghodosi percaya tempoh enam bulan akan datang merupakan detik yang kritikal dalam arena perbankan digital.

"Aspek kesegeraan dan fokus yang melatarinya adalah jelas, Malaysia akan ditandangi oleh lima bank digital yang bakal mengubah landskap perbankan serta mengambil alih pegangan pasaran pada tahun depan dan bank-bank konvensional sedang dibelenggu kenyataan ini,” ujarnya.

Jelas beliau, rakyat Malaysia mahukan kualiti khidmat pelanggan dan fleksibiliti lebih tinggi bagi perkhidmatan kewangan yang digunakan selain kemampuan mengakses kewangan peribadi pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan menerusi pelbagai saluran serta diberi mekanisme asas untuk menguruskannya.

"Bank-bank konvensional mungkin akan kehilangan daya saing jika gagal bertindak melakukan inovasi pada kadar segera. Detik ini amat mustahak bagi pihak perbankan untuk mengukuhkan hubungan mereka dengan para pelanggan," jelasnya.

"Kita telah pun memasuki era perbankan seranta iaitu satu evolusi yang menekankan kepentingan platform bersepadu bagi kegiatan perbankan.

"Keutamaan tertinggi dalam era baharu ini adalah untuk merangka semula sistem perbankan sedia ada agar berpaksikan pengguna masa kini, justeru mengalihkan tumpuan daripada pelaburan ke dalam teknologi-teknologi yang tersisih antara satu sama lain,” menurut beliau lagi. — Majoriti