PENGALAMAN bekerja sebagai barista sambilan di sebuah cawangan kafe popular di Kuala Lumpur lima tahun lalu telah mendorong Ismail Mohamad, 24, memendam hasrat untuk menceburi bidang perniagaan dalam industri makanan dan minuman.
Kini, bekas kakitangan di sebuah syarikat penerbangan tempatan itu berjaya merealisasikan impiannya dengan mengusahakan Movilion Coffee House (Movilion) yang mempunyai dua cawangan di Kelantan, masing-masing terletak di Pasir Pekan dan Kota Bharu yang berkonsepkan hiasan dalaman dua dimensi (2D).
“Trend anak muda sekarang yang suka mengambil gambar dan berkongsi di media sosial memberi idea kepada saya untuk membuka kafe ini, malah pekerjaan sebelum ini yang berpeluang melawati negara luar juga memberi inspirasi kepada saya membuka kafe konsep 2D yang pertama di Kelantan,” katanya.
Uniknya Movilion ini, dinding dan lantainya 'dicat' warna putih-hitam dengan lukisan 2D, yang mempamerkan pelbagai suasana di beberapa bahagian tempat makan antaranya gambaran seorang wanita sedang menikmati minuman di restoran.
Dinding dan lantai kafe Movilion dicat warna putih-hitam dengan lukisan 2D yang mempamerkan pelbagai suasana di beberapa bahagian tempat makan. — Bernama
Berkongsi cerita, anak jati Kota Bharu ini yang gemar menjelajah ke 'tempat orang' telah melawat ke 25 negara termasuk Korea yang memberi ilham kepadanya untuk membuka kafe berkonsepkan 2D itu.
“Pertama kali saya bercuti ke negara berkenaan pada 2018 dan semasa melawat bandar Incheon dan Seoul, saya ternampak dan kagum dengan sebuah kafe di situ yang menggunakan hiasan dalaman 2D bertemakan suasana dan budaya Korea zaman dahulu.
“Maka, saya terdetik untuk mengusahakan kafe seumpama itu memandangkan tiada lagi kafe berkonsepkan 2D di Kelantan. Justeru, saya mengambil peluang ini supaya perniagaan saya tampak berbeza berbanding pengusaha kafe tempatan yang lain,” katanya.
Selain menyediakan minuman kopi, Movilion juga menjual pelbagai juadah ala barat antaranya pasta dan ayam panggang, termasuk pencuci mulut seperti aiskrim berperisa kek keju dan menu istimewanya wafel dengan ais krim yang menjadi jualan terlaris ketika ini. Kesemua makanan dan minuman itu adalah resipinya sendiri.
Kafe Movilion mempunyai dua cawangan di Kelantan, masing-masing terletak di Pasir Pekan dan Kota Bharu. — Bernama
Mengulas lanjut, Ismail mula mengusahakan kafenya selepas hilang pekerjaan sebagai seorang kakitangan khidmat pelanggan di syarikat penerbangan tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, susulan sektor itu terjejas oleh pandemik Covid-19.
“Hampir empat tahun saya bekerja dalam industri penerbangan dan sememangnya amat meminati kerja saya sebelum ini, tetapi rezeki terhenti pada Januari lalu kerana terpaksa diberhentikan. Jadi, saya ambil keputusan untuk pulang dan tinggal bersama ibu bapa di Bachok.
“Kemudian, saya memulakan perniagaan (Movilion) pada awal Februari lepas dengan menggunakan duit simpanan sendiri sebagai modal, selain turut dibantu dua orang kakak, Nurul Izzah, 32, dan Fauzah, 29, yang juga rakan kongsi serta penasihat syarikat,” katanya yang memegang saham Movilion sebanyak 51 peratus.
Ismail mengakui pada permulaan perniagaan beliau, ia tidak memberangsangkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang tidak membenarkan kedai makan beroperasi seperti biasa, bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.
Ismail melayan pelanggan yang singgah di kafenya yang terletak di Pasir Pekan. — Bernama
Namun, dengan semangat tidak mudah putus asa, Ismail berkata beliau terus mempromosikan Movilion melalui media sosial serta menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk melonjakkan jualan perniagaannya, dan ternyata kaedah itu membuahkan hasil sehingga kafenya semakin dikenali penduduk tempatan sejak Jun lepas.
Malah, anak kelima daripada enam beradik ini, sekarang ini mampu tersenyum lebar apabila jualan makanan serta minuman ala barat di kafenya, sudah mencecah antara RM50,000 hingga RM70,000 sebulan dan hasil jualan semakin meingkat selepas kerajaan membenarkan 'dine-in' di kedai makan.
Mengakhiri perbualan, Ismail yang merupakan pemegang Diploma Pengurusan Penerbangan di Kolej Cybernatic di Kuala Lumpur, buat masa ini fokus untuk memperkukuhkan lagi dua cawangan Movilion yang sedia ada, sebelum memperluaskan perniagaannya di daerah lain.
“Insya ALLAH pada masa akan datang, saya akan membuka lagi cawangan yang baharu sekali gus dapat meningkatkan peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan,” katanya yang kini menggajikan seramai lapan pekerja. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram