Kelantan bakal miliki loji tenaga hidroelektrik


  • Bizz
  • Rabu, 08 Sep 2021

PEMBINAAN loji tenaga hidroelektrik akan memperkuat keselamatan bekalan tenaga di Semenanjung Malaysia.

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikatnya, tnb Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) mengikat kontrak untuk membina loji tenaga hidroelektrik 300MW di Gua Musang, Kelantan.

Syarikat itu telah menerima surat pemberitahuan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk membangunkan loji tersebut yang difahamkan dianggarkan bernilai RM5 billion.

TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia mengatakan bahawa TNB Genco perlu memenuhi syarat tertentu sebelum pelaksanaan projek tersebut.

Jelas TNB, anak syarikatnya menggabungkan sebuah syarikat projek milik penuh bernama TNBPG Hydro Nenggiri Sdn Bhd untuk melaksanakan projek tersebut.

"Kerja-kerja pembinaan projek ini dianggarkan mengambil masa lima tahun dan jadual jangkaan operasi komersialnya dijangka 1 Jun, 2027.

"Projek itu akan meningkatkan pasaran penjanaannya, terutamanya dari hidro.

"Ia akan meningkatkan kecekapan keseluruhan portfolio aset penjanaan termasuk tenaga boleh diperbaharui.' katanya.

Tambah TNB lagi, projek itu juga akan meningkatkan keselamatan tenaga untuk negara dan membawa kesan sosio-ekonomi positif bagi Malaysia, negeri Kelantan dan masyarakat tempatan.

Jelasnya, projek tersebut akan memberi manfaat tambahan kepada Kelantan dari segi pengurangan banjir, bekalan air bersih dan bekalan air mentah untuk pengairan.

"Projek itu akan memperkuat keselamatan bekalan tenaga di Semenanjung Malaysia, terutama ke wilayah timur.

"Ia juga akan berperanan sebagai penyedia utiliti dalam menyeimbangkan trilemma tenaga untuk negara," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram