ISU sekolah agama atau pusat tahfiz (persendirian) tidak dibantu kerajaan hanyalah salah faham rakyat yang tidak tahu tentang situasi sebenar yang berlaku berhubung perkara itu, kata pakar akademik.
Perkara tersebut dikongsi oleh Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad.
Menurut beliau, bantuan untuk sekolah agama dan pusat tahfiz sudah ada dari setiap peringkat dan ia disalurkan setiap tahun kepada sekolah berkenaan.
ANUAR memberitahu situasi sekolah tidak berdaftar menyukarkan kerajaan untuk menyalurkan bantuan.
Katanya, isu sebenar yang berlaku adalah kewujudan sekolah-sekolah persendirian yang tidak berdaftar dan beroperasi tanpa kebenaran.
Situasi ini menyukarkan kerajaan untuk menyalurkan bantuan.
"Rakyat sering salah faham apabila melihat pusat tahfiz yang daif dan kekurangan dana berpunca daripada kerajaan yang tidak prihatin.
"Namun, hakikat sebenarnya, sekolah ini tidak berdaftar dan apabila keadaan sebegitu, bantuan tidak dapat disalurkan kerana tiada pemantauan susulan (audit) yang dapat memastikan ke mana duit itu dibelanjakan," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, setiap tahun kerajaan pusat, negeri, Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) mahupun Baitulmal telah memperuntukkan bantuan kepada sekolah-sekolah (berdaftar) yang mencecah ratusan juta ringgit.
Mengikut Belanjawan 2021, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi tujuan penyelenggaraan sekolah tahfiz, sekolah pondok berdaftar dan sekolah agama rakyat (SAR) pada 2021.
Terdahulu, Ketua Pejuang Muda Kedah Ahmad Shauqie Syeikh Muhamad Baderudin memberitahu sekolah agama rakyat (SAR), sekolah tahfiz dan pondok memerlukan perhatian serta bantuan lebih besar.
Beliau menekankan perkara itu selepas mengambil kira bantuan RM15 juta diperuntukkan kepada sekolah persendirian Cina oleh kerajaan Persekutuan.
Mengulas kenyataan itu, Anuar menyarankan Pejuang agar memberikan fokus kepada membantu sekolah-sekolah berkenaan untuk mendaftar dengan jabatan agama negeri.
Hal ini berikutan ada pengasas (mudir) pusat pengajian yang tidak tahu selok belok urusan berkenaan malah, ada juga yang enggan mendaftar kerana tidak mahu terikat dengan prosedur dan garis panduan pengurusan sekolah.
"Perkara ini merupakan asas untuk menjadikan sebuah sekolah mampu memberikan pendidikan yang terbaik buat pelajar.
"Pejuang sepatutnya fokus untuk membantu mereka supaya mendaftarkan sekolah supaya kerajaan tahu kewujudan mereka dan memudahkan bantuan untuk disalurkan," ujarnya.