Lelaki murung dilaporkan hilang


  • 112
  • Khamis, 07 Okt 2021

POLIS berkata, usaha mencari Jefri dilakukan sejak empat petang semalam bersama penduduk kampung namun dia gagal dijumpai sehingga kini.
SEORANG wanita membuat laporan polis mendakwa suaminya hilang selepas didapati tidak pulang ke rumahnya di Taman Desa Maju Perak, Teluk Intan, Perak sejak Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner (ACP) Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan Jefri Ismail, 36, daripada wanita itu yang menyedari suaminya tiada di rumah dan tidak menjawab panggilan telefon kira-kira 1 tengah hari.

Beliau berkata, isteri Jefri kemudian dimaklumkan oleh abang iparnya bahawa motosikal dan telefon bimbit Jefri dijumpai di kawasan kebun kelapa sawit Alor Bakong, kira-kira tiga kilometer dari rumah pasangan suami isteri itu.

"Siasatan awal mendapati mangsa hilang (Jefri) mengalami kemurungan sejak sebulan lepas dan pernah memberitahu isterinya bahawa dia selalu terdengar bisikan. Mangsa juga mula bercakap seorang diri semasa di rumah.

"Mangsa merupakan seorang lelaki normal dan mempunyai dua anak berusia 10 serta 11 tahun hasil perkahwinan selama 12 tahun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Adnan berkata, usaha mencari Jefri dilakukan sejak empat petang Rabu bersama penduduk kampung namun dia gagal dijumpai sehingga kini.

"Usaha mencari mangsa hilang digerakkan semula sejak lapan pagi tadi secara menyeluruh di tempat kejadian yang berkeluasan lebih kurang 197 ekar (79 hektar) dan bersambung dengan Hutan Simpan Chikus.

"Operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan Pasukan Gerak Am Bidor, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam," katanya. — Majoriti