Zahid sokong usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021, minta pilih semula jika lompat parti


  • Politik
  • Khamis, 30 Sep 2021

AHMAD Zahid Hamidi menyokong agar mewujudkan Akta antilompat parti dan Pemecatan Ahli Parlimen. — Bernama

ADALAH menjadi kewajaran untuk mengadakan pertandingan baharu di mana-mana kerusi yang wakil rakyatnya beralih arah dengan melompat ke parti berlainan, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata terdapat keperluan untuk bertindak sedemikian bagi mendapatkan keabsahan pilihan pengundi.

"Gejala ini (lompat parti) boleh menghakis keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi negara," katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pada 2 September lalu menghantar notis cadangan usul usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Azhar sudah pun mengesahkan pihaknya sudah menerima usul berkenaan namun belum membuat keputusan untuk menyenaraikannya dalam aturan urusan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-14 pada 13 September hingga 12 Oktober depan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menegaskan yang pihak berkuasa sukar untuk mengaitkan perbuatan lompat parti dengan unsur jenayah.

Namun Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyokong agar mewujudkan Akta antilompat parti dan Pemecatan Ahli Parlimen.

Katanya, jenayah sukar dikaitkan dengan individu melompat parti yang kemudiannya mendapat jawatan daripada anasir sogokan.

"Setakat ini tiada sebarang akta atau undang-undang dalam negara berkaitan lompat parti, kita pernah menyaksikan begitu ramai wakil rakyat sewenang-wenang lompat parti selepas PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14).

"Tanpa mempedulikan tentang rakyat mengundi mereka atas dasar parti politik yang mereka wakili, ini suatu lagi penipuan terhadap pengundi selain daripada penipuan manifesto," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Zahid hamidi, lompat parti, Umno