Shahidan kongsi nombor telefon untuk selesai isu jalan rosak


  • Primer
  • Khamis, 07 Okt 2021

SHAHIDAN turut berkongsi nombornya, timbalannya dan Datuk Bandar untuk tatapan umum. — Bernama

ADUAN mengenai kerosakan jalan di sekitar Kuala Lumpur akan diambil perhatian dan baikpulih juga akan disegerakan dalam tempoh 24 jam.

Itu jaminan yang diberikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang turut mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memantau keadaan jalan raya berhampiran projek pembinaan.

Keputusan itu dibuat Shahidan ketika sesi Penggulungan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Paling mencuri perhatian apabila Shahidan turut berkongsi nombor telefon miliknya, timbalannya dan juga Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

"Saya telah berbincang dengan DBKL dan mengarahkan mana-mana aduan dan rungutan dan makluman kerosakan jalan hendaklah diambil tindakan segera dalam masa 24 jam.

"Yang Berhormat boleh hubungi menteri (019454111), timbalan menteri (019-6524444) serta Datuk Bandar (016206888).

"Kami bersiap siaga 24 jam. Rakyat Malaysia boleh hubungi. Yang baru datang Kuala Lumpur, jumpa jalan berlopak dan berbahaya, hubungi dan kita ambil tindakan dalam masa 24 jam," katanya.

Keberanian Shahidan mendedahkan nombor telefon turut mendapat pujian daripada segelintir Ahli Parlimen lain. — Majoriti