Warga tempatan bersekongkol bawa nelayan asing masuk perairan negara


  • 112
  • Isnin, 04 Okt 2021

MARITIM Malaysia percaya kesemua tenaga kerja Vietnam ini masuk menggunakan jalan laut. — Sinar Harian

ISU nelayan asing Vietnam menceroboh masuk dan kemudian merompak hasil laut negara masih berlaku kerana warga tempatan dikesan bersekongkol dengan mereka.

Perkara itu didedahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menjalankan risikan berhubung perkara berkenaan.

Menurut Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, pendedahan itu dibuat oleh unit risikan pasukan berpandukan kepada maklumat diperoleh dan hasil siasatan yang telah dijalankan.

"Antara maklumat yang kita dapat ialah orang tempatan buat dokumen, permit kerja dan pasport palsu untuk nelayan asing Vietnam," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Pusat Tahanan Vesel Maritim Malaysia Kelantan pada Isnin.

Hadir sama Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman

Tambahnya lagi, Martim Malaysia akan membuat pemeriksaan lebih rapi selepas ini untuk mengenal pasti dalang di sebalik perkara tersebut.

"Pihak kami percaya kesemua tenaga kerja Vietnam ini masuk menggunakan jalan laut.

"Kita turut mengesan kewujudan bot-bot klon milik Vietnam yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan," ujarnya.

Katanya lagi, beliau difahamkan ada yang diberi lesen, tetapi bot tersebut tidak lagi beroperasi akibat uzur dan sebagainya.

Jelasnya, nombor pendaftaran itu digunakan oleh nelayan Vietnam.

"Maritim Malaysia akan melihat semua perkara itu secara lebih terperinci termasuklah dari aspek perundangan," tegasnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram