Naif jika anggap MoU Ismail Sabri, PH henti permainan politik


KADIR Jasin berkata, pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri memberi kelebihan kepada Umno berbanding Bersatu.

MANA-MANA pihak yang menganggap atau berharap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan individu yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara beliau dengan Pakatan Harapan (PH) akan menamatkan permainan politik adalah naif.

Hal ini kerana kedua-dua perkembangan itu adalah sebahagian daripada percaturan politik atau political manoeuvering.

Wartawan veteran A Kadir Jasin berkata, mendakwa, Ismail Sabri mendapat kedudukannya sekarang disebabkan kejatuhan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mahiaddin (Muhyiddin) jatuh akibat mainan politik kluster mahkamah Umno dan penyokong mereka iaitu Geng 15.

“Cuma Ismail Sabri mungkin lebih kuat daripada Mahiaddin kerana dia disokong bukan saja oleh partinya sendiri iaitu Umno, tetapi juga oleh parti-parti Perikatan Nasional (PN) yang lain.

“Dia juga tidak diasak dengan teruk oleh PH hasil MoU dengan mereka. Namun ini tidak pula bermakna dia kuat dalam partinya sendiri. Rasanya Umno pun berhati-hari juga menyokong beliau kerana takut ‘terpalit’ dengan kerjasama Ismail Sabri dan PH itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno pada 20 Ogos lalu dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

13 September lalu, kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Ismail Sabri dipetik sebagai berkata, memorandum itu yang membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, mempunyai enam agenda.

Agenda berkenaan merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Mengulas lanjut, Kadir Jasin berkata, pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sudah pun memberi kelebihan kepada Umno berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Namun, beliau berkata, kepimpinan tertinggi Umno yang tercemar dan berpecah-belah menjadi suatu masalah kepada parti tersebut.

Pada masa sama, katanya, PAS adalah sebuah parti yang boleh menentukan nasib Umno dan Bersatu, manakala mana-mana parti yang memilih untuk bergabung dengan PAS akan mempunyai harapan lebih cerah.

“Buat masa ini, PAS nampak lebih cenderung kekal bersama Bersatu. Itu pun bergantung kepada kemampuan Mahiaddin terus meyakinkan parti itu yang Bersatu boleh mengatasi Umno.

“Masalahnya Bersatu bukan saja semakin lemah kerana kehilangan jawatan Perdana Menteri malah mungkin berpecah menjelang PRU (Pilihan Raya Umum),” katanya. —Majoriti

A Kadir Jasin, Ismail Sabri, MoU