Rundingan Perjanjian Malaysia 1963 wajar diteruskan


  • Primer
  • Jumaat, 17 Sep 2021

HAJIJI (kanan) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengibarkan Jalur Gemilang ketika menghadiri sambutan Hari Malaysia.

SABAH berharap siri rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak dapat diteruskan.

Majlis Khas MA63 yang dirintis bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah wajar disambung oleh penggantinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata Majlis Khas MA63 perlu disambung semula memandangkan ia beri banyak kemajuan awal dicapai menerusi rundingan itu.

"Kita berkeyakinan tinggi di bawah kebijaksanaan kepimpinan Perdana Menteri. Kita akan dapat bersama-sama membawa nilai dan makna lebih besar berteraskan semangat ‘Keluarga Malaysia’ merentasi wilayah.

"Kita berusaha memenuhi kontrak sosial antara wilayah yang sudah disepakati para pelopor awal tanah air di bawah MA63," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Hajiji turut menegaskan bahawa selaku ketua kerajaan kepada rakyat dan negeri Sabah, suara rakyat yang mengutarakan hak-hak negeri sebenarnya bukan hanya berkisar mengenai kepentingan negeri semata-mata.

Beliau berkata, keprihatinan lahir atas rasa kecintaan dan kesetiaan Sabah kepada Persekutuan Malaysia.

"Setelah 58 tahun, sesungguhnya hasrat kami adalah untuk melihat rakyat dan Sabah diberikan pengiktirafan lebih signifikan dalam membawa Malaysia melangkah ke hadapan membina negara jauh lebih makmur, aman, maju dan sentosa,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram