KBS kecam komen perkauman terhadap skuad Piala Sudirman negara


  • Podium
  • Ahad, 03 Okt 2021

AHMAD Faizal berkata, komen seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan kerana atlet negara terdiri pelbagai bangsa telah berjuang mengharumkan nama negara. — THOMAS YONG/The Star

KOMEN berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh seorang pengguna media sosial ke atas atlet badminton perseorangan wanita negara, S Kisona langsung tidak mencerminkan sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Jelas beliau, atlet berkenaan telah berjuang mengharumkan nama negara dan komen tesebut adalah tindakan kurang bijak sebagai rakyat Malaysia.

"Ada dalam kalangan keluarga Malaysia kita ini umpama setandan pisang.

"Ada yang elok, ada yang buruk, ada juga keluarga kita ini yang tak tahu guna bahasa baik.

"Tak kira Keluarga Malaysia kita ini daripada Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun atau Murut, mereka berjuang untuk mengharumkan nama Malaysia.

"Jangan kita hina bangsa, kulit, agama sesiapa juga yang telah berjuang mengharumkan negara," katanya kepada pemberita selepas menziarahi sebuah keluarga susah di Kampung Manjoi, Ipoh, Perak pada Ahad.

Terdahulu, kenyataan berbaur perkauman itu tular ketika pemain berkenaan sedang beraksi di peringkat separuh akhir kejohanan itu malam Sabtu.

Dalam kejohanan itu, Malaysia tumpas 1-3 kepada Jepun sekali gus gagal layak ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung pada Ahad.

Mengulas prestasi atlet badminton negara dalam kejohanan Piala Sudirman 2021, Ahmad Faizal berkata, beliau kagum dengan semangat yang dipamerkan para pemain hingga layak ke peringkat separuh akhir.

"Mereka janji dengan kita untuk ke peringkat suku akhir tetapi berjaya ke separuh akhir hingga semua (rakyat) tidak tidur malam melihat mereka bermain. Apakan daya kita tersingkir (separuh akhir) namun bagi saya mereka telah mempamerkan semangat yang begitu menakjubkan,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, beliau berharap pemain badminton negara akan layak ke peringkat akhir Piala Thomas yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 17 Oktober ini di Aarhus, Denmark bersandarkan persembahan di Piala Sudirman.

"Namun apa yang kita harapkan daripada pemain ialah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan segala keputusannya (Piala Thomas) kita akan terima,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram