Cadangan tubuh Institut Genom dan Vaksin Negara tepat pada masanya


  • Massa
  • Selasa, 05 Okt 2021

PENYELIDIK pakar dalam bidang itu juga bersedia menyumbang kepakaran dan tenaga untuk menghadapi cabaran pandemik.

CADANGAN penubuhan Institut Genom dan Vaksin Negara adalah tepat pada masanya memandangkan negara kini mempunyai penyelidik pakar dalam bidang itu, kata Universiti Putra Malaysia (UPM).

Institut pengajian itu dalam kenyataannya berkata penyelidik pakar dalam bidang itu juga bersedia menyumbang kepakaran dan tenaga untuk menghadapi cabaran pandemik.

"Dengan penubuhan Institut Genom dan Vaksin Negara, diharap ia boleh menjadi Pusat Kecemerlangan dalam bidang vaksin bagi mencetuskan kerjasama yang lebih berkesan antara penyelidik dari universiti, institut penyelidikan, swasta dan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Katanya tiga penyelidik vaksin Covid-19 dari universiti itu Prof Datin Paduka Dr Khatijah Yusoff, Prof Datuk Dr Mohd Hair Bejo dan Prof Madya Dr Eddie Chia Suet Lin mengalu-alukan cadangan itu dan memaklumkan ramai pakar penyelidik vaksin negara ini dikenali di seluruh dunia.

Menurut kenyataan tersebut para penyelidik itu juga menyifatkan pembangunan vaksin Covid-19 di negara ini sebagai contoh yang sangat baik, hasil kerjasama penyelidik dari universiti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dengan institut di bawah Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Usaha penghasilan vaksin Covid-19 buatan Malaysia ini juga akan melibatkan pihak swasta dengan kepakaran dalam penghasilan vaksin yang mematuhi peraturan dan regulasi ditetapkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye turut mengalu-alukan langkah yang diambil Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Datuk Dr Adham Baba untuk membentangkan cadangan kepada Perdana Menteri supaya satu institusi ditubuhkan di negara kita untuk menghasilkan vaksin Covid-19 buat Malaysia yang dinamakan sebagai Institut Genom dan Vaksin Malaysia.

Pada Ahad, Dr Adham memaklumkan tentang penubuhan institut itu yang bakal dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat. — Majoriti

UPM, Institut, Genom, Vaksin