Individu tak boleh divaksin boleh mohon sijil khas


  • Primer
  • Isnin, 04 Okt 2021

KHAIRY turut memberitahu kerajaan tidak menafikan hak setiap individu yang berada di negara ini untuk divaksin.

SIJIL pengecualian vaksinasi di MySejahtera boleh dimohon di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) buat individu yang tidak boleh menerima vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurut beliau, sijil digital khas itu boleh dipohon sekiranya individu berkenaan tidak boleh divaksin atau mempunyai alahan terhadap vaksin atas faktor perubatan.

"Golongan ini perlu mendapatkan pengesahan daripada pakar perubatan berdaftar yang merawat mereka.

"Mereka perlu memohon sijil berkenaan di PKD dan mengemukakan borang khas ‘Slip Penilaian Kesesuaian Menerima Vaksin COVID-19 Bagi Pesakit Dengan Masalah Kesihatan Tertentu’," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada Isnin.

Khairy menjawab soalan ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis mengenai alternatif untuk individu yang tidak boleh divaksinasi atas faktor kemudaratan kesihatan dan pewujudan dokumentasi yang dikhususkan bagi golongan itu untuk tujuan pergerakan fizikal.

Tambah Khairy lagi, borang khas itu hendaklah disahkan oleh pakar perubatan di hospital swasta, pakar perubatan atau pegawai perubatan yang merawat (semasa ketiadaan pakar perubatan) di hospital kerajaan yang berpakar atau pakar perubatan keluarga di klinik kerajaan.

Jelasnya lagi, sijil digital melalui MySejahtera itu akan diperoleh dalam tempoh satu minggu jika permohonan lengkap dan mengikuti syarat yang ditetapkan.

"Pakar perubatan juga akan menasihatkan individu berkenaan bagi pengambilan vaksin dari jenis lain yang bersesuaian.

"Jika seseorang didapati menghidapi alahan kepada vaksin jenis Pfizer, vaksin jenis lain seperti Sinovac boleh diberikan," ujarnya.

Kata Khairy lagi, jika individu itu disahkan tidak boleh mengambil sebarang jenis vaksin Covid-19 atas sebab perubatan, dia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) secara kendiri dengan lebih ketat.

Sementara itu beliau turut menjawab soalan tambahan Isnaraissah Munirah berhubung tindakan kerajaan terhadap individu antivaksin dan mereka yang bergantung kepada kad vaksinasi.

Jawab Khairy, seperti yang ditetapkan kerajaan terdapat beberapa kelonggaran yang hanya diberikan kepada mereka yang lengkap vaksinasi.

"Bagi penerima vaksin yang tidak mempunyai peranti digital, golongan itu boleh menggunakan kad vaksinasi yang diterima di pusat pemberian vaksin (PPV) sebagai bukti vaksinasi dan sekiranya kad itu hilang perlu dilaporkan di PKD terdekat," jelasnya.

Dalam pada itu, Khairy turut menjawab soalan ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon berhubung pemberian vaksin kepada individu tanpa dokumentasi lengkap kewarganegaraan dan pendatang tanpa izin.

Ulasnya, kerajaan tidak menafikan hak setiap individu yang berada di negara ini untuk divaksin termasuk penduduk yang tidak mempunyai dokumentasi lengkap kewarganegaraan atau masalah status imigresen.

"Dasar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah no wrong door policy (semua diterima dan dilayan) termasuk tidak melihat kepada status imigresen tapi soal kesihatan awam.

"Kerajaan utamakan vaksinasi kepada semua yang ada di Malaysia,” ulasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram