'Hantar rakaman video 'dashcam' jika 'rider' langgar peraturan'


  • Berita
  • Selasa, 05 Okt 2021

ORANG awam diminta berkongsi rakaman video dashcam jika terlihat penunggang p-hailing yang melanggar undang-undang trafik atau menunggang secara berbahaya.

POLIS meminta pengguna jalan raya supaya berkongsi rakaman video dashcam jika terlihat penunggang p-hailing yang melanggar undang-undang trafik atau menunggang secara berbahaya.

Perkara itu disuarakan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat susulan banyak aduan diterima daripada pelbagai pihak berkenaan tingkah laku penunggang p-hailing yang sering menunggang secara berbahaya.

Katanya beliau menyeru kepada pengguna jalan raya jika ada penunggang p-hailing yang melanggar peraturan supaya menghantar rakaman video dashcam menerusi Facebook JSPT Selangor untuk tindakan susulan.

"Kesalahan ketara yang boleh menyebabkan kemalangan adalah melanggar lampu isyarat merah, abai lalu lintas termasuk menunggang secara melawan arus dan kesalahan tertinggi adalah menunggang tanpa lesen.

"Operasi secara berterusan akan dijalankan di beberapa lokasi tumpuan yang dikesan kerap terjadi pelanggaran undang-undang membabitkan penunggang p-hailing," katanya pada Selasa.

Tambahnya lagi, beliau menyeru kepada penunggang-penunggang p-hailing, supaya mematuhi peraturan jalan raya.

"Dalam mengejar rezeki kita tidak boleh mengabaikan keselamatan diri kita dan pengguna jalan raya yang lain kerana keluarga kita menunggu di rumah.

"Operasi motosikal secara berkala dan berterusan akan dijalankan bukan hanya memberi tumpuan kepada penunggang p-hailing tetapi semua pengguna jalan raya secara keseluruhan," ujarnya. — Sinar Harian

polis, rider, p-hailing, peraturan, rakaman, lapor