Rebut peluang ketika pandemik Covid-19


  • Bizz
  • Isnin, 04 Okt 2021

AMIRUL Feisal berkata naratif lama yang mengutamakan keuntungan yang maksimum telah menyebabkan kesan yang buruk terhadap kos persekitaran serta sosial.

PENDEMIK Covid-19 disifatkan sebagai satu krisis yang unik kerana ia turut menyediakan peluang yang perlu direbut dan dimanfaatkan segera.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pandemik ini mendedahkan kewujudan kelemahan dalam komuniti sosioekonomi global Malaysia secara kolektif.

"Ketidaksamaan, ketidakseimbangan, ketidakadilan ekonomi, penyalahgunaan alam sekitar, ini semua tidak pernah terlihat secara universal sebelum ini.

"Begitu juga keperluan kritikal bagi mengatasi masalah tersebut secara global dengan koheren dan bersepadu," katanya dalam ucapan alu-aluan pada Forum Megatrends Khazanah 2021 (KMF 2021) yang tertemakan "The Invention of Tomorrow: Crafting Our New Collective Narrative" pada Isnin.

KMF 2021 diadakan secara maya selama tiga hari, bermula Isnin, menampilkan 31 penceramah terkemuka dari Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Indonesia, China, India dan Itali.

Menurut Amirul, bagi mengelakkan bencana, terdapat keperluan bagi mewujudkan naratif baharu yang pada dasarnya akan mengubah nilai dan tingkah laku untuk membentuk dunia yang akan diwarisi oleh generasi akan datang.

Beliau menjelaskan sebagai contoh, naratif lama yang mengutamakan keuntungan yang maksimum dengan apa sahaja kaedah kini telah menyebabkan kesan yang buruk terhadap kos persekitaran serta sosial.

"Kos yang diabaikan ini adalah kos yang ditangguhkan dan sudah jelas bahawa terdapat jurang besar antara ekonomi kewangan dan realiti ekonomi sebenar, ekonomi yang mana kita benar-benar menghasilkan barangan serta perkhidmatan," katanya.

"Seperti biasa, kita akan mengadakan perbincangan, meneliti perspektif pasaran, firma, masyarakat dan individu, perkembangan biasa daripada peringkat makro ke tingkat perseorangan, yang mencerminkan bagaimana dunia diatur secara sosioekonomi," kata Amirul Feisal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram