LANGKAH meningkatkan jumlah pekerja mahir adalah antara perkara yang perlu diberi tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berkata ketika ini Malaysia hanya mempunyai 28 peratus pekerja mahir sedangkan negara maju memerlukan sekurang-kurangnya 50 peratus pekerja mahir.
"Kita sebenarnya cuba untuk mencapai 35 peratus pada tahun lepas namun terdapat beberapa faktor yang mengganggu terutama yang berhubung kait dengan pandemik Covid-19 menyebabkan sasaran tersebut tidak berjaya dicapai.
"Pekerja mahir memerlukan pensijilan namun semasa pandemik, pekerja ini tidak dapat dibimbing secara bersemuka kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19, sekali gus membantutkan usaha meningkatkan jumlah pekerja mahir di negara ini,” katanya.
Menurut Shamsuddin, dua kemahiran penting yang perlu dimiliki pekerja Malaysia adalah pengetahuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta digitalisasi kerana ia menjadi kriteria penting bagi setiap majikan untuk memastikan syarikat mereka lebih kompetitif.
Justeru katanya, setiap pekerja perlu menyiapkan diri dengan ilmu ICT dan digitalisasi bagi memastikan mereka lebih berpeluang mendapat pekerjaan sekali gus membantu syarikat agar tidak ketinggalan dan mampu bersaing ke peringkat lebih tinggi.
"Kalau tidak bersedia dari sekarang, sukar untuk jadi kompetitif, sebagai contoh apa yang berlaku semasa PKP dahulu, petani di Cameron Highlands sukar menjual dan terpaksa membuang hasil tanaman mereka kerana tiada pelanggan.
"Namun dengan bantuan pelbagai pihak yang memasarkan produk dalam talian dapat membantu mereka memulihkan semula pendapatan dalam tempoh itu,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) Dr Shawaludin Husin mahu kerajaan menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dengan memastikan setiap majikan mengambil kira lima risiko utama iaitu kimia, fizikal, biologikal, ergonomik dan psikososial.
Beliau berkata majikan yang mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja serta gagal membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan akan meningkatkan bahaya kemalangan di tempat kerja.
Dalam masa yang sama, Shawaludin berkata kerajaan juga perlu memastikan kadar kemalangan industri berada di paras rendah kerana ia dapat memberikan imej baik untuk negara, sekali gus menarik minat pelabur asing melabur di negara ini.
"Kita lihat selepas sektor pekerjaan banyak dibuka secara berperingkat, berita mengenai kes kemalangan di tempat kerja makin banyak kedengaran dan ini perlu diambil perhatian.
"Walaupun dalam situasi pandemik dan ke arah endemik Covid-19, tumpuan keselamatan dan kesihatan lain juga perlu diutamakan bagi memastikan tenaga kerja yang dipanggil kembali bekerja tidak dibazirkan,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram