Menjelang fasa endemik, jangan cepat selesa - Pakar


  • Massa
  • Isnin, 04 Okt 2021

MASYARAKAT dinasihatkan supaya tidak leka meskipun kerajaan telah memberi kelonggaran untuk pelbagai aktiviti susulan kadar vaksinasi mencapai sasaran. — Gambar hiasan/IZZRAFIQ ALIAS/The Star

KES jangkitan Covid-19 dilihat semakin baik dengan menyaksikan pola penurunan di awal Oktober.

Ia merupakan petanda yang positif memandangkan banyak aktiviti kembali dibuka, dengan kadar vaksinasi penuh golongan dewasa mencapai sasaran 90 peratus dan bilangan remaja divaksin terus meningkat.

Bagaimanapun, masih terlalu awal bagi warga Malaysia untuk meraikannya, kerana belum tentu fasa endemik tercapai menjelang akhir Oktober.

Malah, keadaan semasa masih belum selamat kerana varian yang ada terutamanya varian Delta, dikatakan belum melalui proses mutasi yang boleh membahayakan nyawa semua.

Bagi mengelakkan kenaikan semula kes jangkitan, semua dinasihatkan supaya tidak leka, malah harus terus berhati-hati dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Pakar Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman, masyarakat perlu terus memberi komitmen mematuhi SOP dan langkah-langkah pencegahan, bagi mengelak kemungkinan berlakunya penularan dan juga kluster kes-kes yang baharu.



MALINA menyatakan bahawa fasa endemik bermaksud orang ramai perlu terus mematuhi SOP yang telah disemak dan dipermudah. — Bernama

"Kementerian Kesihatan menyasarkan Malaysia bakal memasuki fasa transisi ‘hidup bersama virus Covid-19’ sebelum beralih ke fasa endemik.

"Dengan bilangan kes berada dalam kadar yang dijangkakan dan tidak membebani kesihatan awam, bergantung pada kekuatan dan tempoh masa perlindungan ketahanan daripada vaksinasi dan infeksi semula jadi.

"Antara petunjuk bagi negara beralih ke fasa pandemik ialah kadar kes kritikal bagi 100,000 populasi ialah 0.5, di mana kadar berkenaan setakat 25 Sept lepas ialah 1.9," katanya.

Tambahnya lagi, petunjuk lain ialah lima peratus kemasukan ke hospital bagi kategori tiga hingga kategori lima dari keseluruhan kemasukan ke hospital.

Jelasnya, peratusan berkenaan setakat 25 September lepas ialah 10 peratus sementara petunjuk lain ialah peratusan penggunaan katil hospital bukan Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah kurang 30 peratus, manakala peratusan penggunaan katil ICU ialah 20 peratus bagi memasuki fasa endemik.

Katanya lagi, bagi orang ramai pula, fasa berkenaan bermaksud orang ramai perlu terus mematuhi SOP yang telah disemak dan dipermudah, bertanggungjawab dan membuat penilaian risiko kendiri termasuk bagi yang sudah divaksin lengkap dan memastikan akses ke kepada penjagaan kesihatan dalam waktu yang tepat.

"Dalam peralihan dari pandemik kepada fasa endemik beberapa perkara perlu diambil kira termasuk tidak boleh mengelak daripada virus Covid-19 sepanjang hidup.

"Namun kita boleh meminimumkan impaknya, mengawal kes sakit dan yang teruk dengan sistem kesihatan yang tidak terlalu terbeban," ujarnya.

Dalam pada itu, lima strategi digariskan oleh kerajaan, supaya peralihan ke fasa endemik dapat dilakukan, jelas Malina.

Pertama, ia melibatkan respon kesihatan awam dan program vaksinasi menggunakan pendekatan cari, uji, jejak, asing dan sokong (FTTIS), vaksinasi terhadap 70 ke 90 peratus keseluruhan populasi, pemberian suntikan vaksin dos ketiga dan memastikan amalan pengudaraan yang baik serta selamat.

Strategi kedua melibatkan ujian dan pemantauan iaitu penggunaan kit ujian kendiri, ujian berdekatan pesakit (POCT), kit ujian lebih pantas menggunakan alat pernafasan dan cara pengawasan yang dipertingkatkan.

Strategi ketiga ialah pengurusan kes, di mana akan dipastikan terdapat kapasiti hospital yang mencukupi, rawatan yang efektif dan perlindungan terhadap golongan berisiko.

Strategi keempat ialah pemerkasaan komuniti bagi menggalakkan orang ramai melakukan ujian kendiri, pengasingan kendiri, mematuhi SOP, menjadi agen perubahan dan meningkatkan ketahanan mental.

Strategi kelima ialah pengawalan sempadan di mana polisi dan SOP kuarantin diteruskan, pengamalan uji dan lepas dan penggunaan senarai ‘green/amber/red’.

Hurainya lagi, bagi peralihan ke fasa endemik, antara faktor utama yang perlu diambil kira ialah tahap jangkitan, iaitu semasa fasa pandemik tahap jangkitan adalah tinggi dan dalam fasa hidup bersama virus jangkitan adalah dalam kalangan komuniti dengan sebilangan kluster besar manakala dalam fasa endemik jangkitan adalah rendah.

"Antara tindakan yang perlu dilaksanakan ialah peningkatan respon termasuk vaksinasi, peningkatan ujian dan pemantauan, serta peningkatan kesediaan menghadapi kluster atau gelombang yang besar.

"Tindakan lain ialah berkaitan kit ujian kendiri iaitu harga siling, bagi memastikan ia dapat dibeli orang ramai, subsidi terhadap golongan B40 dan pemantauan harga dan kualiti," ujarnya.

Tambahnya lagi, dalam pengurusan kes, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) secara maya akan diteruskan dan dilaksanakan di negeri lain, selain keperluan sektor swasta memainkan peranan lebih besar.

"Bagi pengurusan kes di hospital, hospital terpilih akan dikenal pasti sebagai hospital Covid-19 dengan sekurang-kurangnya satu hospital Covid-19 bagi setiap kluster hospital, dengan jumlah minimum ialah 42 buah hospital.

"Jumlah katil bukan ICU dan ICU akan dikurangkan, dengan purata penggunaan dikurangkan masing-masing kepada kurang 30 peratus dan kurang 20 peratus," ujarnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Covid-19, SOP, endemik, dr malina osman, vaksin, varian