KERAJAAN negeri Melaka menandatangani perjanjian usahasama pembangunan semula terminal pengangkutan bersepadu di bandar Peringgit dengan kos pembinaan berjumlah RM3.5 bilion.
Pembangunan projek di tapak terminal sedia ada itu dimeterai antara anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka iaitu Melaka Sentral dengan syarikat pelabur dan pemaju, Goodyield Development Sdn. Bhd. (GDSB), sambil disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Sulaiman berkata, Melaka Sentral baharu itu bakal menjadi pemangkin agenda pembangunan ekonomi negeri dan hab pengangkutan termoden di negara ini.
"Pembangunan itu melibatkan keluasan kasar terminal sebanyak 743,775 kaki persegi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM372 juta yang akan diserahkan secara 'in kind' kepada MSSB dan boleh menempatkan 340 ruang niaga untuk disewakan,'' katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Cadangan Projek Pembangunan Semula Melaka Sentral Antara MSSB dan GDSB pada 31 September lalu di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh.
Projek di atas tapak seluas 18 ekar itu bakal menempatkan lima bangunan terminal utama, pusat beli belah, lot komersial di setiap sektor, masjid, hotel, hab monorel, pusat penganjuran acara, pejabat, klinik, pawagam dan pusat hiburan.
Sulaiman berkata, pembangunan Melaka Sentral akan dilaksanakan melalui lima sektor pembinaan secara berperingkat, yang dijangka bermula pada Jun 2022 dan disiap sepenuhnya pada tahun 2029.
"Bagi sektor pertama, projek ini merangkumi pembangunan bangunan terminal utama untuk ketibaan dan pelepasan, blok kondomium, hotel, 18 buah pawagam dan lot komersial yang dijangka siap pada 2024.
"Sektor kedua melibatkan terminal ekspres wilayah selatan, satu block kondominium, zon hiburan dan ruang komersial yang akan disiapkan pada Jun 2025.
"Sektor ketiga pula adalah terminal ekspres wilayah tengah, dua blok kondominium dan lot komersial yang siap pada Disember 2026.
"Sektor keempat terminal ekspres wilayah utara, satu blok kondominium dan ruang komersial yang akan siap pada 2028 dan terakhir terminal ekspres bagi wilayah timur, sebuah masjid, satu blok kondominium, hab monorel, dewan banquet dan ruang komersial yang dijangka siap pada 2029,'' katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram