UKM universiti awam pertama terima sijil akreditasi APEL


  • Massa
  • Ahad, 03 Okt 2021

SIJIL akreditasi tersebut disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kepada Mohd Ekhwan. — Facebook/UKM

KEJAYAAN Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima sijil akreditasi APEL oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) disifatkan sebagai satu pencapaian yang membanggakan kerana menjadi satu-satunya universiti awam yang menerima pengiktirafan itu.

Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, pengiktirafan bagi melaksanakan pengakreditan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu bagi tujuan penganugerahan kelayakan akademik (APEL.Q) diberikan menerusi program Sarjana Pengurusan Keselamatan Industri (Fakulti Sains dan Teknologi) dan Sarjana Keselamatan Siber (Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat).

“Penilaian untuk akreditasi ini bukan mudah kerana banyak perkara yang perlu diambil kira. Ia melibatkan tiga siri pentaksiran yang ditetapkan iaitu penilaian portfolio, lawatan dan pengesahan di lapangan dan ujian cabaran serta sesi representasi bersama MQA dan panel penilai.

“Alhamdulillah UKM berjaya membuktikan bahawa universiti watan ini sentiasa bersedia mengharungi cabaran itu. Hari ini kita diiktiraf sebagai universiti awam pertama menerima kelulusan APEL.Q ini.

“Tahniah UKM. Terima kasih kepada Pusat Jaminan Kualiti, Pusat Pengurusan Akademik, Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan & Profesional serta Pusat Pembangunan Profesional dan Kepimpinan dan semua yang telah berusaha untuk mendapatkan akreditasi ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sijil akreditasi tersebut disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kepada Mohd Ekhwan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UKM, Profesor Dr Mohammad Kassim.

Tambah beliau, UKM akan memastikan bilangan program yang boleh melaksanakan APEL.Q bertambah dari masa ke masa bagi menyokong aspirasi negara untuk memperkasa pembelajaran sepanjang hayat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram