Rentas sempadan: Malaysia-Singapura masih berunding


  • Primer
  • Ahad, 03 Okt 2021

ISMAIL Sabri memaklumkan kerajaan turut bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 di Singapura. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perbincangan dengan Singapura berhubung pergerakan rentas sempadan terutama bagi rakyat Malaysia yang berulang-alik ke negara jiran itu atas soal kerja sedang berjalan.

Jelas Ismail Sabri, beliau meminta Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berbincang dengan kerajaan Singapura tentang isu berkenaan.

"Yang penting berkenaan perjalanan harian kerana melibatkan beratus ribu sedangkan Singapura masih tidak buka sempadan untuk tujuan itu. Rakyat Malaysia di sana ada tidak balik ke negara ini sebab tidak dibenarkan masuk sudah setahun lebih,” katanya semasa wawancara khas bersama editor media di Kuala Lumpur baru baru ini.

Ujar beliau, Singapura sebelum ini tidak bersedia menerima kemasukan dari Malaysia memandangkan kes di negara ini yang tinggi termasuk membatalkan Skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) Malaysia-Singapura.

"Tetapi sekarang kita pun agak bimbang dengan kes di Singapura yang meningkat sehingga 2,000 kes sehari. Tetapi kita masih akan teruskan perbincangan dengan Singapura untuk pembukaan sempadan,” menurut beliau lagi.

Sebelum ini, Malaysia dan Singapura telah bersetuju melaksanakan rentas sempadan Malaysia dan Singapura di bawah skim RGL dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) bermula 17 Ogos tahun lepas tetapi kemudian Singapura menangguhkan RGL sejak 1 Februari tahun ini manakala Malaysia mengambil tindakan serupa bermula 13 Mei lepas.

Berhubung perjalanan rentas negeri apabila kadar vaksinasi negara melepasi kadar 90 peratus, Ismail Sabri berkata, perkara itu bakal dicapai tidak lama lagi dan beliau akan mengumumkannya bersama dengan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

Malaysia terus merekodkan trend penurunan kes harian Covid-19 pada Sabtu apabila mencatatkan 10,915 kes baharu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram