Zolkples Embong meninggal dunia


  • Primer
  • Ahad, 03 Okt 2021

ALLAHYARHAM pernah mengemudi MSN selama tujuh tahun dari April 2007 hingga Disember 2014. — Bernama

BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong dilaporkan meninggal dunia, pagi Ahad.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Facebook.

"Innalillahiwainnailaihirojiun. Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Malaysia, Datuk Seri Zolkples Embong meninggal dunia pagi ini (Ahad).

"Semoga rohnya mendapat rahmat dengan anugerah keampunan daripada ALLAH SWT serta dikurniakan tempat bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah," tulis Ahmad Faizal.

Allahyarham pernah mengemudi MSN selama tujuh tahun dari April 2007 hingga Disember 2014.

Difahamkan, Allahyarham yang berusia 62 tahun meninggal dunia di rumahnya, dipercayai akibat serangan jantung.

Kematian Allahyarham dikatakan hanya disedari oleh beberapa pegawai MSN yang gagal menghubunginya sejak Jumaat lalu apabila mendapati Allahyarham tidak hadir untuk solat Jumaat di Vista MSN, Bukit Jalil sebelum ditemui terbaring di rumahnya pada Ahad.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak ketika mengesahkan perkara itu berkata, jenazah Zolkples, 62, kini berada di Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan bedah siasat.

"Anak saudara dan pembantu peribadi beliau meminta bantuan polis untuk membuka pintu rumah arwah kira-kira 10 pagi Ahad selepas beberapa panggilan dibuat tidak dijawab.

"Selepas polis berjaya membuka pintu rumah, jenazah Zolkples ditemukan terbaring.

"Punca dan waktu kematian akan diketahui setelah selesai bedah siasat," katanya.

Mohamad Farouk berkata, pemeriksaan di tempat kejadian dan tubuh badan mangsa juga tidak menjumpai sebarang unsur jenayah.

"Tiada sebarang kesan pecah masuk atau pergelutan ditemui di tempat kejadian.

"Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR). Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Allahyarham tinggal di rumah seorang diri dan tidak pernah berkahwin.

"Waris terdekat yang membuat laporan merupakan anak saudara kepada arwah.

"Menurut keluarga, Allahyarham pernah membuat pembedahan jantung kira-kira 10 tahun lalu dan tidak pernah membuat sebarang rawatan susulan selepas itu," jelas beliau.

Mohamad Farouk berkata, ujian saringan Covid-19 Allahyarham sebelum ini juga negatif.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Dungun, Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram