'Sekolah selamat, ibu bapa tidak perlu risau'


  • Massa
  • Sabtu, 02 Okt 2021

GARIS Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 beri fokus kepada aspek kebersihan di kawasan sekolah. — Gambar hiasan/Bernama

GARIS Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 Kementerian Pendidikan (KPM) sudah pun memberikan fokus kepada aspek pembersihan di sekitar kawasan sekolah.

Untuk itu, sekolah yang akan dibuka bermula Ahad akan menjadi satu tempat yang selamat buat pelajar untuk kembali belajar secara bersemuka.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Wang Heng Suan berkata, permukaan yang akan selalu disentuh perlu sentiasa disanitasikan.

"Antaranya, permukaan yang sering disentuh perlu sentiasa disanitasi, laluan pergerakan murid, waktu rehat dan beberapa lagi ciri-ciri keselamatan selain rutin harian iaitu saringan suhu murid, memastikan murid memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal seperti ketetapan KPM," katanya.

NUTP turut merasakan yang langkah pembukaan secara berperingkat menjadi sebahagian daripada pendekatan KPM mengenalpasti situasi dan keadaan untuk mengawal penularan pandemik Covid-19.

Pembukaan semula sesi persekolahan akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan dengan kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Dalam masa sama, Wang berharap semua pentadbir dan guru dapat mengikut garis panduan ditetapkan dan menegaskan garis panduan dikeluarkan sudah lengkap dengan penerangan serta langkah yang perlu diuruskan dalam memastikan keselamatan murid.

Menerusi garis panduan sama turut menyebut guru atau kakitangan sekolah yang tidak mahu divaksin dibenarkan berada atau ditempatkan di dalam ruang yang sama dengan mereka yang lengkap vaksinasi.

Sebanyak 97.5 peratus guru sudah pun terima vaksin divaksin sekurang-kurangnya satu dos, anggota kumpulan pelaksana (97 peratus) dan Pegawai Perhubungan Sekolah (90.6 peratus) setakat 11 September lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sekolah, pelajar, ibu bapa, nutp