Syarat vaksinasi lengkap untuk sektor ekonomi, sosial tidak berubah


  • Primer
  • Jumaat, 01 Okt 2021

KHAIRY terus mengingatkan agar rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan. — Bernama

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan syarat vaksinasi Covid-19 lengkap untuk setiap kemudahan sektor sosial dan ekonomi dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah kekal.

Keputusan terbabit dibuat berikutan perkembangan terkini peralihan fasa PPN bagi semua negeri serta mengambil kira dominasi varian Delta iaitu sebanyak 94.9 peratus dalam kalangan varian baharu Covid-19 yang dikesan dalam negara.

"Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat bersetuju agar setiap kemudahan yang diumumkan sebelum ini dilaksanakan dengan syarat vaksinasi lengkap adalah kekal bagi semua fasa PPN.

"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira keselamatan nyawa rakyat, mengukuhkan sistem kesihatan awam negara, melancarkan pembukaan semula ekonomi dan memastikan usaha kerajaan untuk memulakan proses peralihan ke fasa endemik dilakukan dengan selamat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelas Khairy, individu akan diiktiraf sebagai lengkap vaksinasi apabila melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua bagi penerima vaksin jenis dua dos seperti Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac manakala melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan bagi vaksin jenis dos tunggal seperti Johnson & Johnson dan CanSino.

Menurut beliau lagi, perincian mengenai SOP fasa pemulihan negara akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat.

Beliau berkata, kejayaan untuk membawa negara keluar dari pandemik tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan sahaja tetapi juga kepada tahap pematuhan masyarakat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sekiranya masyarakat mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali menjadi teruk," ujar beliau.

Tambah Khairy, bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang disahkan oleh pegawai perubatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

vaksinasi, PPN, Khairy Jamaluddin, Covid-19