23 peratus rakyat Malaysia mati akibat sakit jantung


  • Massa
  • Sabtu, 02 Okt 2021

KEBANYAKAN pesakit jantung tidak sedar mereka memiliki masalah kardiovaskular yang berpunca daripada kencing manis, darah tinggi dan obesiti. — Gambar hiasan/Agensi.

PENYAKIT jantung berada pada tahap membimbangkan apabila merekodkan lebih 23 peratus kes kematian dalam kalangan golongan dewasa di negara ini.

Kejadian serangan jantung juga boleh berlaku kepada mana-mana individu seawal usia 30 tahun.

Malah majoriti penghidap langsung tidak sedar yang mereka memiliki masalah kardiovaskular yang berpunca daripada kencing manis, darah tinggi dan obesiti.

Pakar Perunding Perubatan Keluarga Hospital UiTM, Profesor Madya Dr Suraya Abdul Razak berkata, data kesihatan nasional menunjukkan lebih kurang satu daripada lima rakyat Malaysia dewasa menghidap penyakit kencing manis dan satu daripada tiga berdepan tekanan darah yang tinggi iaitu lebih daripada 140/90.

“Walaupun mereka menyedarinya tetapi hanya 40 peratus daripada pesakit darah tinggi yang mengambil ubat-ubatan dan mempunyai kawalan kadar tekanan darah yang baik.

“Obesiti juga merupakan faktor risiko yang menyumbang kepada penyakit jantung.

“Satu dari tiga rakyat Malaysia menghadapi masalah obesiti dan ini sangat membimbangkan,” katanya.

Katanya, mengamalkan gaya hidup sihat dan mengawal kadar pengambilan garam serta gula dalam makanan menjadi asas kepada langkah pencegahan.

Mana-mana individu harus lebih peka sekiranya mengalami sakit dada, kesukaran bernafas, loya dan pening kepala kerana semua simptom itu adalah petanda awal kepada penyakit jantung.

“Masalah sukar bernafas, loya dan pening merupakan simptom yang kemungkinan seseorang itu mengalami serangan jantung.

“Pesakit mungkin mempunya gejala berikut apabila terdapat darah beku pada saluran jantung. Segera lakukan saringan kesihatan untuk kenal pasti sama ada badan kita berpotensi atau tidak mempunyai tiga penyakit itu,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram