Titik berat psikologi murid pada sesi buka sekolah, saran pakar


  • Massa
  • Rabu, 29 Sep 2021

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) pada 20 September lalu menyatakan tahap keberkesanan PdPR dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah adalah sederhana.

PEMBUKAAN sesi persekolahan 3 Oktober ini menimbulkan banyak perdebatan namun aspek psikologi murid menjadi perkara terpenting yang wajar dititikberatkan.

Umum menganggap golongan itu teruja dapat kembali belajar di dalam kelas fizikal, berinteraksi dengan guru dan rakan secara bersemuka namun tidak boleh dinafikan akan ada diantara pelajar berasa resah dan bimbang.

Pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Noor Aishah Rosli berkata, pihak sekolah wajar mengambil pendekatan lebih santai pada peringkat awal sekolah dibuka semula dengan guru-guru tidak terus mengajar.

Dr Noor Aishah menjelaskan pelajar boleh didedahkan dengan aktiviti riadah atau pun bersukan sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membangkitkan semula rasa seronok dikalangan murid.

"Kita nak kembalikan ‘mood’ di samping merangsang semula kemahiran sosial dan komunikasi mereka bersama rakan-rakan dan guru-guru.

“Kita mahu murid-murid khususnya di tahun satu dan dua mempunyai persepsi positif dan seronok untuk terus belajar di sekolah,” katanya.

Menurut Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak 2001, golongan itu ditakrifkan sebagai individu berusia bawah 18 tahun.

Dalam masa sama, Dr Noor Aishah turut menasihati guru agar tidak terus bertanyakan tentang kerja sekolah kerana ia boleh menjejaskan keterujaan murid.

"Untuk awal-awal ini cubalah elakkan. Bukan semua murid dapat mengikuti PdPR sepenuhnya dan menyiapkan semua kerja sekolah.

“Jika mereka ditekan dengan soalan-soalan begitu, tidak mustahil timbul rasa takut dan tidak seronok untuk ke sekolah malah mungkin ada yang akan menangis jika ke sekolah,” katanya.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada 20 September lalu menyatakan tahap keberkesanan PdPR dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah adalah sederhana.

Sebanyak 51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah dan daripada jumlah itu, 48.9 peratus menyatakan tertekan kerana interaksi yang terhad dengan guru.

Manakala 55 peratus murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan dan 53.4 peratus tertekan kerana kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram