'Lindungi Diri, Lindungi Semua' dorong tujuh anak-beranak ambil vaksin


  • Massa
  • Rabu, 29 Sep 2021

ARIAH Wati (duduk kanan) bersyukur apabila dirinya sekeluarga kini lengkap mengambil dos vaksin Covid-19. — Bernama

SLOGAN ‘Lindungi Diri, Lindungi Semua’ bukanlah satu frasa biasa bagi Ariah Wati Ahdah, 48, kerana bagi ibu kepada lima cahaya mata itu, ia memberi makna cukup besar terutama dalam memastikan keluarga kecilnya lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.

Meskipun jauh di Kinabatangan, Sabah, kira-kira 310 kilometer dari Kota Kinabalu, beliau sentiasa peka akan kepentingan mendapatkan vaksin dengan turut menggalakkan kesemua anak-anaknya untuk berbuat demikian, bagi meningkatkan imuniti agar menjadi ‘perisai’ melindungi diri daripada risiko jangkitan wabak.

Kini, Ariah Wati lega dan gembira apabila dia bersama suami Johary Abdul Kadir, 47, serta tiga anak perempuan berusia 19, 20 dan 21 tahun lengkap divaksinasi, manakala dua anak remajanya masing-masing perempuan berumur 14 dan lelaki berusia 16 tahun, baru menerima dos pertama pada 17 September lepas.

"Kerjaya saya dan suami memerlukan kami selalu berurusan dengan orang ramai. Walaupun sekarang anak-anak belajar secara dalam talian di rumah, tetapi kami sebagai ibu bapa sentiasa keluar bekerja dan tidak mustahil terdedah dengan risiko penularan jangkitan wabak di tempat kerja.

"Atas sebab itu, saya dan suami sentiasa menekankan kepentingan mengambil vaksin Covid-19 dan memastikan anak-anak mendapatkan vaksinasi menerusi program disediakan, bukan sahaja demi keselamatan dan kesihatan diri sendiri tetapi juga keluarga dan komuniti setempat,” katanya.

Ketika mendengar remaja Sabah berumur antara 12 hingga 17 tahun dibenarkan mengambil vaksin mulai 16 September lepas, Ariah Wati sememangnya mengukir senyuman dan berasa teruja kerana dua anaknya dalam lingkungan umur berkenaan akhirnya boleh mendapatkan vaksinasi.

"Ini penting sebagai antara persediaan sebelum mereka kembali ke sekolah bagi sesi pembelajaran secara bersemuka, selain membolehkan mereka melakukan aktiviti harian seperti biasa setelah hampir dua tahun hanya duduk di rumah sahaja,” katanya.

Ariah Wati bersyukur proses ketujuh-tujuh mereka anak-beranak mendapatkan vaksinasi berjalan lancar memandangkan tempat tinggal yang berdekatan dengan pusat pemberian vaksin (PPV) iaitu Hospital Kinabatangan dan Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan.

"Oleh itu, tiada alasan untuk mereka tidak menyokong saranan kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19 melalui program vaksinasi demi manfaat diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Selain mendapatkan janji temu vaksinasi melalui aplikasi mySejahtera, Ariah Wati berkata, dua anaknya turut memanfaatkan sepenuhnya peluang mengambil suntikan vaksin secara jumpa terus dan kemudian dikemas kini melalui aplikasi tersebut, untuk kemudahan ketika berurusan di luar.

Ariah Wati turut mengajak komuniti di Kinabatangan untuk mengambil vaksin Covid-19 di PPV disediakan agar daerah itu mampu mencapai imuniti kelompok, dalam masa sama menasihatkan mereka supaya tidak mudah percaya dengan berita palsu sebaliknya mendapatkan informasi tepat mengenainya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram