KENYATAAN Runner.myeg yang menawarkan lesen memandu tanpa ujian komputer menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tular di laman sosial baru-baru ini.
Menerusi laman Facebooknya, Runner.myeg mendakwa, lesen memandu yang ditawarkan kepada orang ramai itu wujud di dalam sistem serta boleh diperbaharui.
Katanya, pihaknya juga boleh membantu dari segi menyelesaikan masalah saman yang disenarai hitam atau blacklist.
“Proses makan masa dua harilah. Ramai pengguna telah berjaya selesaikan masalah mereka. Ambil tindakan sebelum anda menyesal.
“Hubungi kami di http://wasap.my/+60176818744/PM+moto+keta. Terhad 100 orang terawal,” katanya.
Lesen memandu tanpa ujian komputer itu ditawarkan dengan harga bermula RM330 bagi motosikal dan RM650 bagi kereta.
Sementara itu, JPJ berkata, sebarang urusan berkenaan lesen memandu tanpa ujian yang dikeluarkan oleh Runner.myeg adalah palsu, tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh JPJ serta tidak sah.
Dalam satu kenyataan, JPJ berkata, pihaknya memandang serius isu tular #viralJPJ yang disebarkan di media sosial itu.
Justeru, katanya, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang iklan yang ditawarkan di media sosial termasuk lesen tanpa ujian komputer dan JPJ.
“Dalam hal ini, JPJ menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan menghubungi pejabat JPJ yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat supaya tidak tertipu,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram