Kaji penggunaan sensor, CCTV untuk ujian memandu


  • Primer
  • Khamis, 23 Sep 2021

SPEKULASI berhubung soal integriti dalam ujian memandu juga dapat diselesaikan dengan penggunaan teknologi dan sensor. — The Star

PENGGUNAAN teknologi terkini akan menambah baik proses pembelajaran dan meningkatkan tahap integriti pengujian yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang memaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang melakukan kajian berhubung perkara tersebut.

Jelas beliau, kebolehlaksanaan mengaplikasikan teknologi terkini itu juga merangkumi penggunaan sensor dalam ujian memandu di negara ini.

“Contoh, kalau seseorang itu mengambil ujian dengan JPJ, kita akan masukkan mereka dalam kenderaan tersebut yang bukan sahaja ada video Kamera Keselamatan Litar Tertutup (CCTV) untuk rakaman, malah sensor juga akan diletakkan dalam kenderaan yang sedang jalankan pengujian ini.

“Apabila di litar, semua tiang parkir akan dipasang dengan kamera dan sensor untuk melihat macam mana soal integriti yang dipersoalkan dulu yang kata bila mengambil ujian kita boleh beri rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur pada Khamis.

Tambah beliau, spekulasi soal integriti dalam ujian memandu juga dapat diselesaikan dengan penggunaan teknologi dan sensor apabila semua maklumat dapat dikawal oleh pusat kawalan.

Hurainya lagi, keperluan automasi dalam merekodkan elemen pengujian yang boleh dilihat kembali apabila terdapat dakwaan juga boleh diselesaikan dengan bantuan teknologi itu.

"Perkara ini memerlukan analisis data besar, penggunaan sensor yang canggih termasuk penggunaan Internet of things (IoT)," ujarnya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran).

Zakaria dalam Dewan Rakyat meminta penjelasan MOT mengenai usaha memperkasakan penggunaan teknologi internet atau kecerdasan buatan (AI) dalam Industri Latihan Pemanduan (ILP).

Sementara itu, Ka Siong turut mengulas tentang perlanjutan Lesen Belajar Memandu (LDL) yang tamat tempoh melebihi dua tahun bermula 13 Jan lepas sehingga 30 Jun 2022.

Katanya, lanjutan itu membantu anggaran 462,000 calon yang tidak dapat mengikuti proses mendapatkan lesen dan menduduki ujian memandu akibat penutupan pengoperasian institut memandu berikutan pandemik Covid-19.

"Perlanjutan tempoh itu juga akan membolehkan institusi memandu mengaturkan ujian untuk semua calon dengan pihak JPJ.

"Ia juga dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," jelasnya.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram