EKONOMI digital, infrastruktur digital dan produktiviti merupakan antara faktor penting yang perlu dijadikan fokus utama kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) 2021-2025 bagi memulihkan pertumbuhan negara menjangkaui pandemik Covid-19, sekali gus mendokong ekonomi berpendapatan tinggi seawal 2024.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kerajaan komited untuk terus menilai kualiti, keterangkuman dan kesinambungan pertumbuhan negara pada masa depan bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Keupayaan perniagaan untuk mengadaptasi pendigitalan dan perkembangan teknologi akan meningkatkan kecekapan dan seterusnya, memacu perniagaan dalam jangka panjang.
"Selain itu, penggunaan automasi yang disokong latihan dan peningkatan kemahiran pekerja sedia ada akan mengoptimumkan produktiviti dan menjana pertumbuhan ekonomi yang kukuh,” ujarnya pada Ahad.
Dalam laporan Bank Dunia: Aiming High - Navigating the Next Stage of Malaysia's Development, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita Malaysia berada pada AS$11,200 (RM46,911), hanya kurang AS$1,335 (RM5,591) daripada tahap ambang semasa yang menentukan peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi.
Menurut Bank Dunia, kemajuan ke paras tahap ambang menjadi perlahan susulan kesan daripada Covid-19, namun Malaysia berpeluang melaksanakan reformasi jelas untuk mengekalkan pertumbuhan masa depan.
PELAKSANAAN inovasi ke arah norma perniagaan baharu perlu dimanfaatkan. — Bernama
Tambah Mohd Uzir, perniagaan juga perlu meneliti semula model operasi perniagaan dan meneroka peluang baharu melalui digitalisasi dan mempertimbang untuk mempercepatkan adaptasi pendigitalan dalam usaha meningkatkan daya tahan, di samping mengoptimumkan proses perniagaan.
Menurutnya, dalam hal ini, infrastruktur teknikal yang mapan, disokong proses digitalisasi pintar merupakan komponen kritikal dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi.
Menerusi penggunaan teknologi, Mohd Uzir berkata, ia akan menambah baik kecekapan pengeluaran dan seterusnya meningkatkan produktiviti dalam jangka sederhana dan panjang.
"Peningkatan dalam pengeluaran dan produktiviti akan menghasilkan keuntungan dan mengekalkan perniagaan serta pekerjaan, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.
"Industri berintensifkan modal serta mengadaptasi automasi dilihat lebih berdaya tahan berbanding industri berintensifkan buruh.
"Bagi industri berintensifkan modal, melalui penggunaan automasi, penyesuaian operasi perniagaan dapat dilaksanakan dengan segera sekiranya menghadapi krisis dan dapat mengekalkan produktiviti dalam kalangan pekerja,” jelasnya.
Selain itu, Mohd Uzir berkata, industri perlu memanfaatkan krisis ini dengan melaksanakan inovasi ke arah norma perniagaan baharu.
"Ia merupakan titik perubahan yang sesuai kepada industri untuk mengadaptasi Revolusi Industri 4.0 dalam meningkatkan rantaian nilai untuk mencapai nilai ditambah yang lebih tinggi.
"Melalui penggunaan teknologi, pekerja berpeluang untuk meningkatkan kemahiran dan kemampuan bagi membolehkan mereka menggunakan teknologi dengan lebih cekap.
"Seterusnya, dalam jangka panjang, negara akan dapat menangani isu ketidakpadanan pekerja dengan mewujudkan lebih banyak pekerjaan mahir. Krisis ini juga sewajarnya dijadikan titik perubahan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram