Pacu semula ekonomi negara, kerajaan fokus kuasa beli pengguna


  • Primer
  • Sabtu, 25 Sep 2021

ISMAIL Sabri memaklumkan agenda perumahan akan terus menjadi fokus utama kerajaan dalam menyediakan kediaman mampu milik. — Bernama

KERAJAAN akan menumpukan usaha mengembalikan kesejahteraan rakyat dengan meningkatkan kuasa beli pengguna dan mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara telah melalui satu fasa yang cukup perit sejak Mac tahun lalu dan memberi kesan amat mendalam kepada ekonomi, sosial dan psikologi rakyat ekoran pandemik Covid-19.

Ujarnya, kerajaan pada setiap hari belajar perkara baharu untuk bagaimana menangani pandemik Covid-19 selain berusaha mencari langkah terbaik mengimbangi kesan ekonomi yang melanda negara sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

"Impak yang dihadapi meliputi pelbagai sektor industri khususnya perniagaan kecil dan sederhana yang sangat terkesan. Bukan sedikit yang masih bergelut, malah ada yang terpaksa gulung tikar.

"Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan dan keperitan hidup rakyat ketika negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak ini," katanya ketika melancarkan Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia, Rumah Ikram Keluarga Malaysia di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya pada Jumaat.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan akan meneruskan dasar strategik untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli terutamanya isi rumah dalam kalangan B40.

"Bagi pelan jangka sederhana dan jangka panjang, program peningkatan pendapatan serta peningkatan keupayaan, menambah baik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan akan dilaksanakan," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri pada Jumaat turut mengumumkan beberapa inisiatif agenda perumahan untuk kebajikan Keluarga Malaysia antaranya pengecualian bayaran sewa untuk inisiatif perumahan bagi golongan terkesan dan penerusan moratorium bayaran sewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menurut beliau, program moratorium bayaran sewa kepada penghuni PPR sedia ada di bawah kawal selia dan pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan diteruskan sehingga akhir 2022.

Jelas Ismail Sabri, langkah itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 ketua isi rumah atau 50,000 penghuni PPR, yang melibatkan tanggungan kewangan kerajaan berjumlah RM18.84 juta.

"Inilah sebahagian daripada usaha kita, inisiatif kita, ikhtiar kita untuk Keluarga Malaysia yang memerlukan," katanya.

Beliau juga mengumumkan penambahan bilangan unit di bawah projek berkenaan kepada 2,000 unit daripada 1,000 permulaannya, yang membolehkan kira-kira 10,000 isi rumah yang memerlukan mendapat manfaat daripadanya.

Rumah Ikram Keluarga Malaysia disediakan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor dengan kadar sewa minimum RM124 sebulan bagi tempoh maksimum dua tahun.

Rumah Ikram Keluarga Malaysia itu menjadi teduhan kepada golongan yang kehilangan dan kekurangan pendapatan atau kehilangan pekerjaan sehingga tidak mampu membayar sewa rumah yang tinggi.

Bagi mengurangkan tekanan dan bebanan kepada penerima inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia itu, Ismail Sabri mengumumkan bahawa semua penerima manfaat akan diberikan pengecualian bayaran sewa sehingga enam bulan bermula dari tarikh menerima kunci.

"Pengecualian bayaran sewa ini akan ditanggung oleh kerajaan dengan melibatkan peruntukan lebih RM3 juta," katanya.

Ujar Ismail Sabri lagi, agenda perumahan akan terus menjadi fokus utama kerajaan khususnya dalam menyediakan kediaman mampu milik untuk Keluarga Malaysia.

"Program kediaman mampu milik seperti PPR, Perumahan PR1MA dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) akan terus diperkasa dan ditambah baik agar rakyat mempunyai tempat untuk berteduh.

"KPKT akan melihat dengan lebih strategik perancangan dan pelaksanaan program perumahan agar ia tidak hanya boleh dibina dalam tempoh yang singkat malah mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.

"Golongan rentan, golongan belia dan anak muda untuk memiliki kediaman yang selesa serta berkualiti juga akan dibantu sejajar dengan agenda Liveable Malaysia atau Malaysia Yang Berdaya Huni, yang perinciannya akan diumumkan dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta Belanjawan 2022," jelasnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram