VIDEO dua penunggang basikal yang menggunakan lorong kanan jalan raya berhampiran Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya, hingga menimbulkan kebimbangan orang ramai tiba-tiba tular baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pusat pentadbiran kerajaan adalah hub aktiviti berbasikal dan peminat sukan berbasikal dinasihatkan supaya menggunakan jalan dikhaskan serta mematuhi peraturan sedia ada.
"Penunggang basikal yang baharu menceburi aktiviti basikal ini dinasihati menggunakan laluan selamat sebelum menggunakan jalan raya yang sibuk dan mencabar.
"Selain itu pengguna jalan raya di pusat pentadbiran kerajaan di sini disaran memberi kerjasama dan mematuhi undang-undang bagi mengelak berlaku sebarang kemalangan," katanya.
ASMADI berkata, penunggang basikal yang baharu menceburi aktiviti basikal dinasihati menggunakan laluan selamat sebelum menggunakan jalan raya yang sibuk dan mencabar. — Harian Metro
Pada masa sama, Asmadi berkata, pihaknya turut memberikan advokasi kepada peminat sukan itu berkaitan keselamatan bagi mengelak berlaku kemalangan.
Katanya, pelbagai langkah penguatkuasaan dilaksanakan pihaknya bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di daerah ini termasuk mengadakan operasi motosikal.
Berdasarkan video tular itu, kelihatan sebuah kereta memecut laju di bahagian kiri penunggang basikal itu dan melanggar lampu isyarat merah.
"Saya berharap pengguna jalan raya saling bertimbang rasa ketika di jalan raya. Polis tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun sekiranya mendapati terdapat pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang," katanya.
Dalam kejadian 19 September tahun lalu, seorang penunggang basikal wanita maut selepas dirempuh lori di Jambatan Putrajaya berdekatan Kelab Tasik Putrajaya, dekat Putrajaya. — Harian Metro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram