
PASUKAN Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berjaya mengawal sepenuhnya kebakaran yang membabitkan sebuah kilang kain di Kawasan Perindustrian Ringan Tupai di Taiping, Perak pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran terbabit pada jam 3.30 petang.
Beliau berkata, sebaik bomba tiba di lokasi kejadian, api sedang marak membakar keseluruhan bangunan kilang itu.
"Bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira 30 minit kemudian daripada merebak ke bangunan bersebelahan.
"Kebakaran itu membabitkan kilang berkeluasan 30.5 x 30.5 meter persegi. Kerja-kerja pemadaman api sedang dijalankan," katanya.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan ketika kejadian kilang berkenaan tidak beroperasi.
Katanya, bangunan kilang kelas B jenis setingkat itu dianggarkan musnah 70 peratus.
"Kira-kira 130 anggota dan pegawai digerakkan bagi operasi pemadaman itu.
"Operasi turut membabitkan BBP Kamunting, Bagan Serai, Batu Kurau dan Kuala Kangsar sambil dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS)," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram