Kelindan lemas, lori ayam terbabas dalam parit


  • 112
  • Selasa, 21 Sep 2021

LORI ayam dinaiki mangsa terbabas ke dalam parit di Jalan Harmoni Ijok, Kuala Selangor malam tadi. — Sinar Harian

SEORANG kelindan ditemukan lemas selepas lori ayam dinaikinya terbabas ke dalam parit di Jalan Harmoni Ijok, Kuala Selangor, Selangor pada malam Isnin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa, Kamarul Najmi Abdullah, 24, yang beralamat di Taman Sri Putra, Banting maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku ketika pemandu, Saihol Ihsan Rapsidi, 36, dalam perjalanan dari sebuah reban ayam di Ijok menuju ke kilang pemprosesan ayam di Puchong.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu melalui satu jalan selekoh, tiba-tiba bahagian kiri lori terbabit telah masuk ke dalam parit di sebelah kiri jalan dan terbalik.

"Pemandu sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarangan kecederaan, manakala kelindan telah tersepit sebelum lemas," katanya.

Ramli berkata, usaha mengeluarkan mangsa dijalankan oleh pasukan bomba dan mangsa berjaya dikeluarkan pada kira-kira jam 11.45 malam.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tanjong Karang bagi bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kemalangan, lori, kelindan, Ramli Kasa,