Mahkamah Tinggi tolak permohonan Rosmah gugurkan Sri Ram


ROSMAH didakwa berkaitan kes rasuah berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak. — The Star

PERMOHANAN Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan berhubung kes solar ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Keputusan itu dilakukan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada Jumaat.

Ia dilakukan selepas hujahan-hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu diteliti Mohamed Zaini.

Mohamed Zaini berkata, perlantikan Sri Ram oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas tidak bercanggah dengan peruntukkan undang-undang.

"Kebenaran yang diberikan oleh Tommy Thomas supaya Sri Ram mengendalikan kes ini tanpa syak adalah sah, maka permohonan pemohon ditolak," katanya ketika membaca keputusan penghakiman.

Dalam kes ini, Rosmah diwakili oleh peguam, Datuk Jagjit Singh, Datuk Akberdin Abdul Kadir dan Azrul Zulkifli Stork.

Pihak pendakwaan pula dibarisi Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P. Kunyalam dan Poh Yih Tinn.

Kes terhadap Rosmah, 69, berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak kini di peringkat bela diri.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu, Rizal Mansor.

Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

rosmah, sri ram, mahkamah tinggi, rasuh, kes solar