POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil keterangan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.
Ia berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan SPRM.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, ia adalah salah satu proses siasatan dan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Ya. kita siasat sebaik sahaja ada laporan. Itu adalah salah satu proses siasatan,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan laporan polis yang diterima disiasat dengan telus mengikut lunas perundangan sedia ada.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja peringkat kementerian di Dewan Rakyat, kelmarin memberitahu, PDRM sudah membuka kertas siasatan berhubung isu penahanan tiga pegawai SPRM tersebut.
Kata beliau, pihaknya juga sudah meminta JSJ PDRM mempercepat siasatan kes, selain bersetuju ia diklasifikasi sebagai kes curi.
Terdahulu, tiga pegawai SPRM ditangkap bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.
Wang tunai itu didakwa dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya.
Individu disiasat itu dilepas tanpa bebas oleh mahkamah pada April tahun lalu dan ketika mahu menuntut semula wang tunai yang dirampas SPRM, dia terkejut kerana sebahagian daripadanya didapati wang palsu.
Individu yang tidak puas hati dengan wang palsu tersebut didakwa membuat laporan polis menyebabkan tiga pegawai SPRM direman enam hari pada 14 September lalu.— Utusan Malaysia
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram