Masalah kekurangan bahan binaan selesai pada suku keempat


  • Bizz
  • Jumaat, 17 Sep 2021

SEMUA simpanan stok bahan binaan akan habis dibeli selepas sektor hartanah dibuka semula

PERSATUAN Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) menjangkakan masalah kekurangan bahan binaan yang dihadapi sektor hartanah akan dapat diselesaikan pada suku keempat tahun ini.

Masalah yang dihadapi sektor itu ketika ini lebih bersifat sementara ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).

Presiden Rehda, Datuk Ir Soam Heng Choon berkata, apabila sektor hartanah dibuka semula, semua simpanan stok kilang yang ada habis dibeli.

"Ketika pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD), ada sesetengah projek pembinaan dibenarkan beroperasi dan mereka membeli semua simpanan stok yang masih ada di kilang.

"Selepas semua sektor sudah boleh beroperasi, kilang tidak mempunyai stok untuk memenuhi permintaan. Ini akan mengambil masa selama sebulan ke dua bulan sebelum dapat mencukupkan kembali stok.

"Ini yang menyebabkan kekurangan bahan binaan dan apabila permintaan melebihi penawaran, ia juga akan menyebabkan kenaikan harga.

"Namun, harganya sudah kembali turun dan stabil secara perlahan-lahan," katanya.

Menerusi kajian Maybank IB Research, industri industri hartanah berdepan kekurangan bahan binaan yang serius sehingga mengakibatkan kemajuan kerja menjadi lebih perlahan.

Penganalisisnya, Wong Wei Sum, berkata, keputusan kewangan suku ketiga 2021 dijangka lebih lemah dan pihaknya menjangkakan sebahagian pemaju akan mencatat kerugian.

“Berdasarkan 'risikan' kami, Rehda sedang melobi untuk melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) memandangkan pemaju tidak mendapat manfaat penuh disebabkan sekatan pergerakan selama tiga bulan dari Jun hingga Ogos lalu," katanya. — Berita Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pembinaan, bekalan, pkp