PURATA gaji dan upah bulanan siswazah bagi pekerjaan utama sepenuh masa atau setaraf, turun 10.6 peratus kepada RM4,489 pada tahun 2020 berbanding RM5,020 pada 2019, lapor satu kajian Jabatan Perangkaan Malaysia.
Berdasarkan Laporan Survei Gaji & Upah jabatan itu, pemegang ijazah menerima purata gaji dan upah sebanyak RM5,471 sebulan pada 2020, berkurang 9.1 peratus berbanding 2019, manakala pemegang diploma menerima purata sebanyak RM3,311, menyusut 11.5 peratus pada tempoh yang sama.
“Dapat dilihat bahawa kategori mahir merekodkan pengurangan terbesar sebanyak lapan peratus kepada RM5,316, sementara kategori separuh mahir menerima RM2,418, jatuh sebanyak 2.7 peratus berbanding 2019," lapor kajian itu.
Mengulas lanjut tentang kajian tersebut, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kira-kira 2.99 juta siswazah terlibat dalam sektor pekerjaan kategori mahir sepanjang tahun 2020, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia.penurunan itu berlaku dalam sektor pekerjaan profesional termasuk juruteknik dan profesional bersekutu
Katanya, angka itu membabitkan 68.8 peratus daripada jumlah keseluruhan 4.35 juta siswazah namun ia menunjukkan sedikit penurunan, 0.8 peratus berbanding 2019 dalam sektor pekerjaan profesional termasuk juruteknik dan profesional bersekutu.
Tambahnya, kategori pekerjaan separuh mahir pula merangkumi 19.3 peratus siswazah bekerja pada 2020, menerusi kategori pekerja perkhidmatan dan jualan, operator loji, mesin serta pemasangan.
“Siswazah yang bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah diklasifikasikan sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran memandangkan mereka bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kelayakan mereka,” katanya.
Dalam sudut pandang ekonomi, Mohd Uzir menjelaskan 3.37 juta atau lebih 75 peratus siswazah bekerja dalam sektor sektor perkhidmatan, diikuti 14.6 peratus dalam sektor pembuatan.
Menurut Statistik Siswazah 2020, kadar pengangguran siswazah pada 2020 menunjukkan peningkatan 22.5 peratus, menjadikan keseluruhan 202,400 orang.
Mohd Uzir berkata, keadaan itu berlaku ekoran persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan.
“Lebih 75 peratus daripada siswazah menganggur adalah mereka yang aktif mencari kerja yang mana hampir separuh menganggur bagi tempoh kurang daripada tiga bulan,” katanya. - Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram