FEDERAL International Holdings Bhd (FIHB) memperluas kedudukannya dengan menceburi sektor tenaga boleh baharu (RE).
FHIB melaksanakan tindakan itu melalui cadangan kerjasama dengan satu daripada lima penjana tenaga terkemuka China, State Power Investment Corporation Ltd (SPIC).
Menurut Pengeluar perabot dan penggiat dalam sektor pembinaan itu, syarikat 50 peratus miliknya, Warrants RE Assets Sdn Bhd (WREA), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan anak syarikat milik penuh SPIC, SPIC Energy Malaysia Bhd (SPICM).
"Memorandum bertujuan untuk kedua-dua pihak mengambil alih sebahagian atau keseluruhan operasi tarif galakan, pemeteran bersih dan ladang solar berskala besar.
"Di bawah kerjasama itu, katanya WREA akan bertanggungjawab untuk pendanaan manakala SPICM akan menyediakan sokongan teknikal berkaitan loji tenaga dan projek RE lain di Malaysia," katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif FIHB Datuk Choy Wai Ceong memberitahu, kerjasama ini melambangkan usaha pertamanya dalam segmen RE.
"Ia juga akan membantu syarikat memperluas kedudukannya dalam segmen baharu itu.
"Kerjasama itu akan menumpukan kepada pengambilalihan ladang solar, yang kemudiannya akan melalui proses pembaikan dan menaik taraf di bawah pasukan yang diterajui oleh SPIC," ujarnya.
Tambahnya lagi kerjasama tersebut akan membantu meningkatkan pemulihan ladang solar yang diperoleh dan membantu menjana aliran tunai yang positif dengan segera. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram