PEMBERHENTIAN pekerja asing tidak boleh dilakukan secara mendadak dan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh yang ditentukan untuk mengurangkan gangguan terhadap perniagaan, kata Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM).
Presidennya, Datuk Low Kian Chuan berkata menyambut baik keputusan kerajaan untuk memberikan kelulusan khas bagi membawa masuk 32,000 pekerja asing untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan.
Menurut ACCCIM dalam kenyataan hari ini, langkah itu akan memberi kelegaan kepada sektor perladangan, termasuk industri minyak sawit, yang mengalami kerugian kewangan dan pendapatan berikutan kekurangan pekerja telah menjejaskan musim penuaian puncak.
Beliau turut berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk melaksanakan pengaturan yang sama bagi membantu mengatasi kekurangan pekerja dalam sektor pembuatan dan pembinaan, tertakluk kepada SOP yang diperlukan.
"Kami telah menyatakan kebimbangan kami mengenai kekurangan pekerja dalam libat urus baru-baru ini dengan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia. Kami bimbang industri akan terlepas peningkatan permintaan yang lebih kukuh jika kekurangan tenaga kerja asing berterusan,” katanya.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Saravanan Murugan berkata kementeriannya sedang merangka Peraturan Tetap Operasi (SOP) dan mengenal pasti Pusat Kuarantin Pekerja Asing berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang boleh menampung 2,000 pekerja pada satu-satu masa, untuk memudahkan kemasukan pekerja asing.
Menurut ACCCIM, Malaysia memerlukan pendekatan holistik untuk menangani dan mengawal selia proses pengambilan pekerja di bawah sistem yang menyeluruh dan telus untuk memohon dan meluluskan permohonan pekerja asing.
Dalam jangka sederhana, katanya pihaknya menyokong saranan kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan yang berlebihan terhadap pekerja asing, terutamanyayang berkemahiran rendah apabila negara sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi dengan industri menggunakan teknologi dan automasi.
ACCCIM percaya industri dan perniagaan komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membangunkan sistem pengambilan pekerja migran yang mampan berdasarkan amalan pekerja yang baik meliputi standard minimum perumahan dan kemudahan serta layanan yang adil, seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang.
"Kami turut menyambut baik jaminan kerajaan untuk mengambil langkah memansuhkan buruh paksa selepas negara diturunkan penilaian oleh Amerika Syarikat kepada paras paling teruk iaitu Tahap 3 kerana gagal untuk mencapai standard minimum untuk memansuhkan pemerdagangan (pekerja) dan tidak melaksanakan usaha yang jelas untuk (membetulkan keadaan).
"Kegagalan untuk menambah baik penilaian akan menyebabkan imej negara kita dan reputasi syarikat Malaysia berisiko,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram