Rumah ahli politik kena serang


  • Benua
  • Rabu, 22 Sep 2021

ASADUDDIN Owaisi berkata 13 orang merosakkan kediamannya ketika ketiadaannya pada Selasa. — Agensi

SEKUMPULAN penyerang bersenjatakan kapak dan kayu menceroboh kediaman seorang ahli politik di zon keselamatan di New Delhi.

Presiden Majlis All-India-e-Ittehad-ul Muslimeen (AIMIM), Asaduddin Owaisi yang juga Ahli Parlimen Hyderabad berkata 13 orang merosakkan kediamannya ketika ketiadaannya pada Selasa.

"Mereka bersenjatakan kapak dan kayu, mereka melemparkan batu ke rumah saya, papan nama saya turut dimusnahkan," katanya dalam tweeter.

"Kumpulan itu melaungkan slogan berbaur perkauman dan mengancam membunuh saya," kata Owaisi.

Beliau berkata ini kali ketiga kediaman rasminya yang terletak berhampiran Bangunan Parlimen dan bangunan kerajaan lain diserang, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keselamatan di kawasan paling dipantau di New Delhi itu.

Beberapa penyerang adalah dari kumpulan yang dikenali "Hindu Sena" (tentera Hindu) dan telah ditahan polis, kata jurucakap pihaknya.

AIMIM sudah bertapak di Hyderabad selatan Telangana sejak berdekad lamanya, namun parti itu telah berkembang ke wilayah baharu seperti di Bihar, Gujarat, Uttar Pradesh, Benggala Barat dan Maharashtra untuk bertanding dalam pilihan raya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

india, serang, Asaduddin Owaisi